MCI Beri Fokus Program TVET, Hantar Pelajar Lanjut Pengajian Di China – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Penubuhan Malaysia-Chinese Institute (MCI) bakal memberi fokus kepada program-program pembangunan modal insan seperti latihan kemahiran jangka pendek Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program jangka panjang untuk menghantar para pelajar bumiputera melanjutkan pengajian lebih tinggi di China.

Untuk itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau akan ke China untuk mengadakan rundingan bersama beberapa syarikat gergasi di negara tersebut bagi merealisasikan rencana MCI.

“Insya-Allah akan berlepas ke China untuk mengadakan rundingan dan permeteraian kerjasama antara MARA dengan anak-anak syarikatnya termasuk MARA Corp, GiatMARA, UniKL dengan beberapa syarikat gergasi China seperti Huawei serta institusi-insitusi pendidikan.

“Ia melibatkan beberapa universiti terkemuka Negara China bagi membolehkan anak-anak Melayu-Bumiputera mendapat latihan TVET dalam industri berteknologi tinggi seperti Automotif Electrical Vehicle (EV), Renewable Energy Vehicle (REV), Artificial Intelligence (AI), Internet-Of-Thing (IOT), Teknologi Solar dan lain-lain lagi.

“Bahkan, ada beberapa syarikat Konglemerat yang bersedia memindahkan teknologi mereka selain menyatakan minta mendalam untuk melabur di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, program MCI-MARA bersama UniKL akan diselaraskan seperti German Malaysia Institute (GMI), Malaysia-Japan Industrial Institute, Malaysia-France Institute dan seangkatan dengannya.

“Negara China hari ini disifatkan oleh ramai penganalisa ekonomi antarabangsa sebagai kuasa Ekonomi Dunia dan bersaing rapat dengan Amerika Syarikat, terutamanya apabila mereka mula agresif bertindak seperti Negara Kapitalis dan meninggalkan ideologi komunisme mereka.

“Dengan penubuhan Malaysia-China Institute (MCI) di bawah MARA, kami akan memfokuskan program-program pembangunan modal insan bukan sahaja program jangka pendek latihan kemahiran TVET dengan institusi-institusi China, malah dengan menganjurkan program berjangka sederhana dan panjang panjang untuk menghantar pelajar-pelajar bumiputera mendapatkan pendidikan berserta kemahiran di peringkat ijazah serta penyelidikan PhD di universiti-universiti terkemuka Negara China.

“Program ini akan diseleraskan oleh MCI-MARA bersama UniKL sebagaimana program-program serupa seperti German-Malaysia Institute, Malaysia-Japan Industrial Institute, Malaysia-France Institute dll yang amat berjaya di bawah MARA dan UniKL,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit