JKDM Akan Jadi Perantara Dalam Usaha Membangun Modal Insan – Jeffery Nor
PUTATAN, 24 Mei – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) akan menjadi perantara dalam membangun modal insan sekurang-kurangnya bagi membantu masyarakat keluar dari tahap kemiskinan khususnya untuk mereka yang tinggal di pinggir bandar dan kawasan kampung.
Katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan, kerajaan pusat telah melaksanakan pelbagai program namun dengan adanya JKDM ia akan dapat membantu secara lebih progresif.
“Insya-Allah JKDM yang baru ditubuhkan akan bersama-sama dengan KEMAS Putatan bagi memastikan pembangunan modal insan dapat direalisasikan di kampung-kampung.
“Kita tahu GiatMARA dan KEMAS banyak melaksanakan program atau kursus bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk tetapi ianya tidak berkembang secara progresif jadi inilah peranan JKDM iaitu menjadi orang perantara agar mereka dapat keluar dari tahap kemiskinan pinggir bandar dan desa-desa.
“Insya-Allah pelaksanaan mendapatkan data akan diusahakan bersama dengan KEMAS Putatan,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan Tabika KEMAS Parlimen Putatan di sini, semalam.
Dalam hal ini beliau juga mengalu-alukan penglibatan ibu bapa dalam program seperti ini kerana institusi keluarga pada masa ini menghadapi pelbagai cabaran.
“Ibu bapa memerlukan kemahiran dalam mendidik serta mengetahui akan perkembangan anak-anak mereka selain mewujudkan keluarga bahagia dan harmoni iaitu bukan sahaja di rumah tetapi juga di sekolah.
“Saya memahami bahawa tujuan bengkel ibu bapa ini adalah untuk memberikan input-input berguna sebagai bantuan kepada ibu bapa membentuk anak-anak mereka,” katanya yang turut mengimbas penglibatan anak-anaknya sendiri yang juga menyertai Tadika Kemas di Kampung Meruntum, di sini.
Sehari sebelum itu, Jeffery Nor telah menziarahi rumah-rumah yang sudah dibaiki hasil daripada penglibatan GiatMARA dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Kampung Pasir Putih dan Kampung Contoh, di sini.
“Terima kasih kepada GiatMARA dan KKDW yang menyediakan peruntukan untuk membaiki rumah-rumah tersebut.
“Seronok dan puas hati saya dapat melihat penduduk-penduduk yang gembira apabila kediaman mereka dibaiki dan ada yang dibina baru. Insya-Allah ada lagi saya panjangkan sebagai usaha untuk ianya diperbaiki,” ujarnya.
Dalam masa yang sama beliau juga merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua pihak yang sama-sama berusaha untuk kebaikan rakyat.
“Semoga bantuan seperti ini dapat diteruskan kepada rakyat. Terima kasih Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku menteri KKDW.
“Terima kasih juga sahabat-sahabat anggota jawatankuasa UMNO Bahagian Putatan yang sentiasa menyokong dan membantu segala usaha dilakukan,” katanya lagi. – UMNO Online