Ahli UMNO Harus Pertahan Parti, Jasa Perjuangan Tidak Ternilai Sejak Ditubuhkan

TAMPIN, 24 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ahli-ahli parti perlu terus mempertahankan UMNO kerana jasanya tidak ternilai sejak ditubuhkan dan sepanjang negara ini merdeka hingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu ia disanjung oleh seluruh masyarakat.

Menurut beliau, selepas pilihan raya tersebut UMNO sehingga kini terus dihina ekoran pelbagai fitnah.

“UMNO pernah duduk di atas, UMNO pernah hebat tapi UMNO juga pernah diperlakukan dengan pelbagai hinaan dan sebagainya. Apapun, UMNO perlu tetap kita pertahankan sehingga sampai hayat kita.

“Pada UMNO ia ada nilai yang sangat besar, nilai perjuangan, nilai kemerdekaan, nilai pembangunan dan macam-macam lagi maka kerana itu kita perlu pertahankan UMNO ini sebaik mungkin.

“Matlamat kita tidak lain tidak bukan adalah berpaksikan asas tujuan penubuhan iaitu demi agama, bangsa dan negara. Kita nak bagi kekuatan balik dan mudah-mudahan PRU ke-16 UMNO kembali ke persada kepimpinan dan pentadbiran negara, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Jelajah Penerangan UMNO Bahagian Tampin, di bangunan UMNO, di sini, petang tadi.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tampin merangkap Ahli Parlimennya, Datuk Mohd Isam Mohd Isa; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Nizar; Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob serta kepimpinan UMNO bahagian Tampin.

Mengulas lanjut, Jamil Khir menjelaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya lalu kerana fitnah yang melampau serta janji-janji palsu dari pihak pembangkang.

“Kita jatuh, kita tumbang, Barisan Nasional (BN) tewas dengan janji-janji palsu yang kita anggap sebagai fitnah. Macam-macam fitnah yang dibawa dan kalau sekiranya fitnah tidak dibetulkan, memang kita akan terkesan.

“Apabila fitnah diulang-ulang, siang pagi petang subuh senja bahkan berminggu-minggu diulang-ulang, dinyanyi-nyanyikan dan akhirnya masuk dalam pemikiran rakyat hingga akhirnya percaya,” ujarnya.

Untuk rekod, Jelajah Penerangan UMNO diketuai Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia bagi memberi tumpuan untuk pencerahan isu-isu semasa kepada akar umbi.

Dilaporkan, pada 14 Mei lalu Majlis Pelancaran Jelajah Penerangan UMNO telah disempurnakan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan turut dihadiri oleh Azalina dan juga kepimpinan bahagian-bahagian yang terbabit. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit