Kesetiaan Dalam Parti Penting, Cari Titik Persamaan Bukannya Perbezaan – Ahmad Zahid

JERANTUT, 18 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesetiaan dalam parti cukup penting dan dalam apa jua keadaan ia menuntut kepada hakikat tersebut agar parti terus kukuh.

Ahmad Zahid seterusnya menegaskan parti tidak akan kuat jika tiada kesetiaan sebaliknya akan terus lemah kerana dikhianati daripada dalam.

“Jangan ada khianat daripada dalam. Bila kuat tetapi ada penghianat, maka parti akan lemah. Bukan kerana lawan kita kuat, tetapi kerana kita berpecah dan kita lemah.

“Untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang, kita lupakan buku lama, kita buka buku baru. Kita bina kembali kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Cawangan Berkelompok UMNO Bahagian Jerantut, di sini hari ini.

Turut serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah serta pimpinan bahagian yang lain.

Ahmad Zahid seterusnya menambah dalam apa jua keadaan masing-masing perlu mencari titik persamaan dan bukannya titik perbezaan.

“Saya yakin kalau kita cari titik pertemuan, pasti yang kita temukan adalah titik pertemuan. Kalau kita terus pun cari titik perbezaan, kita akan jumpa titik perbezaan di kalangan kita,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit