Jerantut Lokasi Pertama Siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia
JERANTUT, 18 Mei – UMNO Bahagian Jerantut hari ini menjadi lokasi pertama siri Jelajah Penerangan UMNO Malaysia ke akar umbi dengan penglibatan yang amat membanggakan daripada pimpinan serta ahli bahagian tersebut.
Bermula pada awal pagi, ahli pelbagai peringkat serta cawangan bahagian berkenaan diberikan penerangan oleh pimpinan pusat termasuklah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang kemudiannya disusuli kata-kata semangat oleh Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Pelbagai pengisian dan sesi penerangan disediakan oleh pihak Penerangan UMNO Malaysia dalam usaha membantu ahli dan kepimpinan akar umbi terutama berdepan senario semasa hari ini.
Fadzli dalam ucapan ringkasnya melihat siri jelajah berkenaan merupakan antara salah satu medium dalam usaha memperkasakan parti.
“Program pada hari ini penting… Penerangan UMNO Malaysia menggariskan penceramah-penceramah yang hebat untuk memberi pemahaman kepada kita senario dan landskap politik yang sudah jauh berubah selepas PRU (Pilihan Raya Umum) 2018,” ujarnya. – UMNO Online.