Bung Sanggah Dakwaan JKDM Sebagai Strategi Pecah Dan Perintah
KOTA KINABALU, 18 Mei – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menepis dakwaan bahawa pelantikan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) diwujudkan sebagai strategi UMNO untuk ‘pecah dan perintah’ rakyat di negeri ini.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu menjelaskan bahawa JKDM diwujudkan adalah untuk menyelaras program memperkasakan ekonomi dan keusahawanan penduduk kampung dengan matlamat membantu mengurangkan kemiskinan tegar di Sabah.
“Mungkin banyak yang tidak faham dan menyatakan pelantikan ini bertindih dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di peringkat negeri.
“Sebenarnya tidak, sebab JKKK peringkat kampung mengurus tadbir kampung dari segi keselamatan dan permohonan, sementara JKDM ini menyelaras program memperkasakan ekonomi dan juga keusahawanan bagi masyarakat kampung untuk membantu mengurangkan kemiskinan tegar di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JKDM di Bangunan UMNO pada Jumaat.
Katanya, dakwaan mengatakan pecah dan perintah itu adalah daripada pemimpin yang tidak mempunyai maklumat serta tidak memahami mengenai fungsi JKDM.
“Bagi saya mereka tidak bermaklumat dan juga tidak memahami kedudukan dengan menuduh sesuka hati, mereka lebih melihat isu pelantikan JKDM ini dari fahaman politik sempit tanpa memikirkan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.
“Jadi pemimpin sebegini memang cetek pemikiran sebab tanpa bertanya terus melontarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.
Bung yang juga Pengerusi BN Sabah menegaskan tidak timbul isu pertindihan dan dakwaan bahawa ia memecah-belahkan perpaduan juga tidak betul sebab UMNO dan Pakatan Harapan (PH) mengamalkan kerajaan Perpaduan kerana itu kita melantik pelbagai parti yang tercicir daripada kerajaan negeri dalam JKDM ini,” katanya.
Beliau memaklumkan, setakat ini terdapat lebih 2,400 telah dilantik membabitkan 73 Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Yang sudah dilantik 32 DUN tetapi keseluruhannya ada 2,400 lebih jadi sekarang sudah 40 peratus dilantik,” katanya.
Sebelum itu, dalam lawatan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Sabah baru-baru ini telah menyerahkan watikah pelantikan JKDM kepada Bung Moktar yang mewakili 132 pengerusi dan setiausaha jawatankuasa itu dari 66 kampung di Kinabatangan. – UMNO Online
Oleh: Jaafar Wahid