Sanusi Terus Tagih Simpati, Kitar Semula Isu Lapuk – Shaiful Hazizy
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilihat terus menagih simpati dengan memainkan isu-isu lapuk termasuklah menyatakan kerugian kerajaan negeri apabila terpaksa menyimpan tanah tanaman padi yang sepatutnya boleh dikomersialkan.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata perkara itu memperlihatkan Menteri Besar negeri itu mengambil pemikiran secara mudah selain sekadar mencari simpati.
“Sanusi ini bosan agaknya. Sebab itulah tidak habis-habis ada sahaja isu yang dibangkit, ada sahaja salah kerajaan pusat yang cuba dicarinya. Tidak salah kalau hendak buat proses semak dan imbang, tapi yang dia buat proses sembang.
“Baru-baru ini dia kembali semula dengan isu lapuk kata kerajaan negeri rugi ratusan juta kerana terpaksa menyimpan tanah tanah tanaman padi yang sepatutnya boleh dikomersialkan. Inilah namanya pemikiran hendak mudah sahaja.
“Dia sebenarnya boleh sahaja untuk mengkomersialkan lagi padi tersebut, tetapi apa yang terjadi, hendak tukar ke tanah komersial. Ada dia fikir apa nasib petani-petani dan pesawah-pesawah? Tidak,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Tambah Shaiful lagi sepatutnya Sanusi bersyukur apabila kerajaan pusat sudah pun meluluskan RM5 bilion untuk pengupayaan sistem tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan menaik taraf infrastruktur penanaman padi.
“Tapi tidak, ini bagai melepaskan anjing tersepit. Walaupun ditohmah dan dimaki oleh Sanusi, betapa bagus dan profesionalnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi meluluskan peruntukan buat Kedah.
“Sanusi sedar, dia sekarang sangat ‘fragile’, isu pelaburan KXP 2.5 billion masih tak dapat dapat. Kononnya masih tak dapat selesaikan isu SPV. Syarikat Cosec apa dia guna ni? Lambat betul. Belum lagi pelabur-pelabur lain lari. Dan atas sebab itulah Sanusi bankrap idea, akhirnya gunalah konsep 5R pada tempat yang salah, kitar semula isu-isu lama untuk terus relevan. Dan lebih penting untuk buat orang lupa isu sebenar.
“Rakyat tidak lupa. Rakyat Kedah masih menanti dengan segala janji-janji manis Sanusi yang kini semakin menjadi pahit hempedu. Segala mimpi bulan dan bintang Sanusi tawarkan, kini jadi mimpi ngeri sahaja. Akhirnya, sementelah Sanusi gagal menjual mimpi, Sanusi muncul dengan strategi baru dengan tagih simpati, konon kerajaan negeri ditindas dan dipaksa miskin,” bidasnya.- UMNO Online