‘Ukur Baju Pada Badan Sendiri Sebelum Nak Ganti UMNO’ – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak dakwaan adanya parti yang mahu menggantikan UMNO dan berharap mereka untuk mengukur baju di badan sendiri.

Menurut beliau, ini kerana UMNO adalah sebuah parti keramat yang tidak boleh digantikan dengan parti lain kerana jasa dan khidmatnya kepada rakyat dalam 78 tahun kewujudannya.

“Ukur baju badan sendiri. UMNO ini tidak boleh diganti oleh sesiapa sebab kita mempunyai ahli akar umbi yang sangat setia, pemimpin yang sangat berkaliber.

“Kata orang pun nak menggantikan UMNO itu agak sukar kena ukur baju badan sendiri tapi pada saya tak boleh,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, meskipun pelbagai andaian dilempar kepada UMNO namun ahli parti harus rasional dan bersyukur kerana parti ini masih lagi bertahan sehingga ke-78 tahun dalam membawa asas perjuangan seperti mana di awal penubuhannya.

Namun menurut Akmal, bagi memastikan UMNO terus relevan akar umbi memainkan peranan penting seiring dengan perkembangan politik dan kehendak rakyat.

“Ini rumah kita, orang boleh cakap apa pun tentang rumah kita, buruk ke cantiknya tetapi hakikatnya rumah ini adalah milik semua ahli UMNO. Nak tentukan cantik atau buruknya adalah di tangan kita sendiri.

“Jadi setakat hari ini, Alhamdulillah, UMNO kekal bertahta di bumi Melayu ini sepanjang 78 tahun ini. Kita mahu bukan sahaja sampai 78 tahun tetapi kita mahu melihat UMNO kekal untuk sampai mungkin 100 hingga 200 tahun yang akan datang.

“Semuanya itu bergantung kepada kita keperibadian, sikap untuk kekal taat setia pemimpin dan juga taat setia daripada ahli-ahli di bawah akar umbi, saya percaya UMNO ini akan mampu kekal bukan sahaja 78 tahun insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit