Kekuatan UMNO Dapat Dibina Semula Dengan Dukungan Akar Umbi – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 12 Mei – Kekuatan UMNO akan dapat dibina semula dengan dukungan akar umbi dan di peringkat pertengahan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sempena dengan ulang tahun UMNO ke-78, parti itu akan terus berazam dan bertekad untuk maju dalam bidang politik.

“Alhamdulilah sempena dengan 78 tahun ulang tahun kelahiran UMNO, kita terus menambah tekad dan azam untuk maju ke hadapan dalam bidang politik.

“Kini, UMNO cuma mempunyai 26 kerusi Parlimen. Walaupun kita menjadi kerajaan di Negeri Johor, Melaka, Pahang dan Perak, tetapi UMNO pernah dominan biarpun kini kita bersama dengan parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tentunya UMNO berazam untuk meraih kemenangan lebih daripada yang diperoleh. Kita merasakan bahawa terdapat beberapa pendekatan terutamanya untuk kawasan-kawsan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita kalah,” katanya ketika ditemui sejurus selepas Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Bagan Datuk.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, disebabkan Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan dalam lebih tempoh tiga tahun lagi, jentera dan penyatuan perlulah dimantapkan.

“Tetapi, kita berada dalam kedudukan yang kedua maka formula ini mungkin boleh dibincang dan digunakan serta diselesaikan untuk parti-parti lain di dalam komponen Kerajaan Perpaduan.

“Kita mensasarkan jumlah yang diperoleh itu melebihi daripada jumlah kemenangan sekarang ini. Biarlah apabila tiba masanya nanti saya akan memberitahu berapa banyak kerusi yang akan kita tandingi.

“Oleh kerana pilihan raya akan berlaku tiga tahun setengah daripada sekarang biarlah kita menyusun jentera parti dan memperkukuhkan penyatuan di kalangan ahli dan kepimpinan di seluruh negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau memaklumkan bahawa terdapat 2,500 hingga 5,000 permohonan ahli baharu pada setiap bulan.

“Kekuatan UMNO ini dapat dibina semula dengan dukungan daripada akar umbi dan di peringkat pertengahan.Dari segi keahlian, ia semakin bertambah.

“Biarpun kita melakukan pemutihan terhadap ahli-ahli yang meninggalkan parti tetapi jumlah itu melebihi Sabah umpamanya. Saya diberitahu bahawa setiap bulan itu terdapat permohonan antara 2,500 sehingga 5,000 orang. Tidak ada satu pun cawangan daripada 21,000 cawangan yang terbubar, di setiap cawangan itu mesti ada ahlinya.

“Ini ditambah dengan kehadiran ahli-ahli di pelbagai cawangan bukan sekadar korum…. Dulu cukup korum baru boleh jalan, sekarang ini melebihi korum dan keadaan yang luar biasa inilah yang akan memotivasikan pemimpin-pemimpin di akar umbi, bahagian, negeri serta nasional untuk terus turun ke bawah menyantuni mereka, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.