Semangat 78 Tahun, UMNO Labuan Tekad Terus Beri Komitmen Demi Kebangkitan Parti

LABUAN, 11 Mei – UMNO Bahagian Labuan bertekad untuk terus memberikan komtmen sepenuhnya bagi mengembalikan kebangkitan parti bagi terus membela dan membantu rakyat.

Ketuanya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata, UMNO adalah sebuah parti yang lahir daripada rakyat dan akan terus menabur bakti untuk rakyat.

“Sebuah parti yang terlibat secara langsung memperjuangkan kemerdekaan, membangunan negara dan terus membela nasib rakyat sehingga hari ini tanpa luntur,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun UMNO ke-78, hari ini.

Ujarnya, sekalipun serangan demi serangan oleh musuh dari dalam mahupun luar tanpa henti, namun UMNO terus hidup melakar sejarah demi sejarah untuk negara dan rakyatnya.

“Insya-Allah sempena ulang tahun UMNO yang ke-78 pada tahun ini, kami daripada UMNO Labuan akan terus memberi komitmen sepenuhnya untuk menunjukkan kebangkitan UMNO di Labuan dengan membela dan membantu rakyat khususnya di di sini,” katanya lagi.

UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 meraikan ulang tahunnya yang ke-78 hari ini dengan sambutannya akan berlangsung serentak di seluruh negara.

Untuk peringkat pusat, UMNO Malaysia akan menganjurkan sambutan tersebut bersama UMNO Wilayah Persekutuan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit