Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-78 Serentak Seluruh Negara, Terus Istiqamah Dalam Perjuangan
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ulang Tahun UMNO ke-78 yang diadakan seluruh negara hari ini bukan sahaja berjalan dengan baik malah berlangsung dengan penuh sederhana termasuklah di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Suasana sambutan di Ibu Pejabat UMNO dirasai sejak awal petang dengan kehadiran pimpinan serta ahli dan pendukung serta penyokong parti UMNO Wilayah Persekutuan serta lain-lain yang ingin turut bersama-sama memeriahkan sambutan berkenaan.
Seawal jam 6.30 petang, para tetamu yang tiba memenuhi Dewan Tun Hussein, Menara Dato’ Onn dan dimulakan dengan menunaikan solat Maghrib serta bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Pengerusi Biro Agama UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan amanat daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada seluruh ahli dan pendukung serta penyokong parti yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO Online.
Selesai amanat berkenaan, majlis diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan kemudiannya mereka yang hadir masing-masing turut diraikan dengan jamuan makan malam bersama kepimpinan tertinggi parti.
Sambutan ini juga diadakan secara serentak melibatkan 12 negeri yang dilaksana secara maya melibatkan bahagian-bahagian di akar umbi bagi meraikan ulang tahun UMNO. – UMNO Online