Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-78 Dirai Serentak Seluruh Negara Hari Ini
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ulang tahun kelahiran UMNO pada kali ini disambut dengan penuh kesyukuran dan diraikan secara serentak di seluruh negara.
Di peringkat pusat, UMNO akan melaksanakan sambutan ulang tahunnya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjemput orang ramai untuk hadir bersama-sama.
“Saya mewakili saf kepimpinan UMNO dengan penuh rasa hormat menjemput semua hadir ke Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat bersempena sambutan Ulang-Tahun UMNO ini,” katanya.
Untuk peringkat pusat, UMNO Malaysia akan menganjurkan sambutan tersebut bersama UMNO Wilayah Persekutuan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Diadakan seawal jam 6.30 petang, acara sambutan ini akan bermula dengan solat Maghrib diikuti solat hajat, bacaan Yasin, doa selamat dan seterusnya ucapan Amanat Presiden sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO yang ke-78 oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia kemudian disusuli dengan solat Isyak secara berjemaah dan jamuan makan malam sebelum bersurai.
Majlis tersebut akan disiarkan secara langsung di UMNO Online.
Sambutan yang sama turut akan berlangsung untuk negeri-negeri lain di pejabat Perhubungan UMNO Negeri masing-masing.
Terdahulu, pada 3 Mei 2024 UMNO Online melaporkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan bahawa sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 akan diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri.
UMNO telah ditubuhkan pada 11 Mei 1946 untuk menentang Malayan Union dan pada ketika itu ia dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar.
UMNO/Barisan Nasional (BN) telah menjadi kuasa terbesar untuk memimpin negara selama lebih 60 tahun.
Untuk rekod, ini merupakan tahun ketujuh UMNO menyambut hari ulang tahun setelah hilang kuasa mentadbir secara dominan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. – UMNO Online