PRK KKB: Kerjasama Utuh Kerajaan Perpaduan Dalam Landskap Politik Baharu – Dr Asyraf

KUALA KUBU BHARU, 9 Mei – Pasukan dalam Kerajaan Perpaduan menunjukkan komitmen yang amat tinggi bagi membantu dan menjayakan kempen calonnya yang diketengahkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata kesungguhan yang ditunjukkan oleh pasukan Kerajaan Perpaduan jelas membuktikan kesatuan yang utuh semua parti komponen dalam kerajaan.

“Ini sebagai satu manifestasi kerjasama yang utuh bahawa hari ini kita berada dalam landskap politik baharu.

“Dalam konteks landskap politik baharu ini mencerminkan sifat realiti Malaysia. Sifat Malaysia itu adalah rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Sifat Malaysia ini yang harus dikekalkan supaya asas ini dipupuk dan diperkukuhkan. Inilah yang menentukan kestabilan politik yang sekali gus dapat mensejahterakan negara dan rakyat,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Terdahulu Setiausaha Agung menyantuni masyarakat di Taman Tanjak, Ampangan Pechah, semalam.

Turut hadir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Hasmuni Hasan dan Datuk Zahida Zarik Khan; Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar; Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor Datuk Mohd Isa Abu Kasim serta jentera-jentera UMNO.

Mengulas lanjut kata Dr Asyraf lagi, pendekatan yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan menjadi tunjang utama yang membolehkan masyarakat berbilang bangsa dan agama hidup bersama-sama dalam suasana harmoni.

“Tunjangnya tetap kekal dan utuh. Islam, Melayu dan Bumiputera dalam realiti kemajmukan ini  malah kita fokus mendasari kekuatan Kerajaan Perpaduan berbanding dengan pesaing kita yang memfokuskan kepada satu kaum sahaja.

“Kerajaan Perpaduan ini bukan sahaja Melayu dan Bumiputera sebagai tunjangnya tetapi ada komposisi yang besar daripada Cina, India, Kadazan Dusun, Iban dan inilah sebenarnya gambaran dan cerminan Malaysia,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit