UMNO 78 Tahun: Hayati Asas Perjuangan Parti, Kembalikan Kepercayaan Rakyat
KUALA LUMPUR, 8 Mei – Semua pemimpin dan ahli UMNO perlu menghayati semula asas perjuangan parti seperti yang termaktub dalam perlembagaannya demi mengembalikan semula kepercayaan rakyat.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Zaidi Md Zain berkata, beliau mengimpikan agar parti keramat itu kembali mendapat keyakinan rakyat setelah kalah dua kali berturut-turut pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Sebagai generasi pelapis yang meneruskan kesinambungan perjuangan parti keramat ini, sudah pasti saya ingin melihat UMNO kembali mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat untuk menerajui pemerintahan negara setelah mengalami kekalahan teruk pada dua PRU yang lepas.
“Menyentuh berkenaan dengan perubahan, bagi saya bukan perubahan parti yang kita perlu tekankan sebaliknya perubahan pada sikap ahli dan pemimpin. Saya mengumpamakan UMNO sebagai sebuah kenderaan yang elok dan sempurna.
“Namun, jika penumpang dan pemandu kenderaan tersebut (ahli dan pemimpin parti) tidak ‘behave’ maka sebaik mana pun kenderaan atau parti itu tidak akan dapat berfungsi dengan betul selagi sikap ahli dan pemimpin tidak diperbetulkan,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua pemimpin dan akar umbi parti untuk sentiasa beristiqamah bersama perjuangan parti untuk membela agama, bangsa dan tanah air.
“Persoalannya, bagaimana nak memperbetulkan ahli dan pemimpin supaya parti dapat berperanan sebagaimana sepatutnya? Jawapannya ialah kita perlu kembali menghayati asas perjuangan UMNO seperti yang termaktub di dalam perlembagaan parti.
“Dalam erti kata, lain jika kita tersesat di hujung jalan maka kembalilah ke pangkalnya. Dari situ kita akan dapat lihat di mana salah dan silap sehingga parti tergelincir dari landasan setelah hebat meluncur dengan penuh bergaya selama hampir 70 tahun.
“Selamat menyambut hari ulang tahun UMNO ke-78 kepada seluruh ahli khususnya di Bangi dan Negeri Selangor serta seluruh negara amnya. Marilah sama-sama kita beristiqamah bersama wadah perjuangan UMNO demi membela dan memelihara agama, bangsa serta tanah air tercinta,” katanya lagi.
Untuk rekod, parti keramat UMNO akan menyambut ulang tahunnya yang ke-78 pada 11 Mei iaitu Sabtu ini.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Mei lalu memaklumkan bahawa sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 akan diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan di peringkat Pusat, UMNO Malaysia bersama UMNO Wilayah Persekutuan akan menganjurkan secara bersama di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman