Senegal Berminat Pelajari Kepakaran Pengurusan Haji Malaysia, Zakat Dan Waqaf – Mohamad

KUALA LUMPUR, 8 Mei – Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan beliau bersama Presiden Republik Senegal, Bassirou Diomaye Diakhar Faye bersempena rangka lawatan kerja ke Dakar.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO, menerusi satu hantaran Facebook berkata, pertemuan tersebut dimanfaatkan untuk bertukar-tukar pandangan bagi mengeratkan lagi kerjasama sedia ada di samping meneroka bidang kerjasama baharu pada masa hadapan.

“Beliau juga memaklumkan Senegal kagum dan berminat untuk mempelajari dari Malaysia kepakaran pengurusan haji oleh Tabung Haji, zakat dan waqaf. Malah, unit khas berkaitan agama akan ditubuhkan di bawah pejabat Presiden dalam masa terdekat.

“Saya turut menyampaikan ucapan tahniah atas kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Presiden 2024 dan pelantikannya sebagai Presiden Republik Senegal yang baharu bulan Mac baru-baru ini,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Sementara itu, menerusi posting hantaran terdahulu, beliau turut berkongsi pertemuan bersama Menteri Integrasi Afrika dan Luar Negeri Republik Senegal, Yassine Fall.

Menurut beliau, Malaysia dan Senegal bersetuju untuk terus bekerja rapat dalam memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang kepentingan bersama termasuklah perdagangan, pertanian, pendidikan, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, kewangan Islam, wakaf dan zakat, perubatan dan pendigitalan.

Perbincangan turut sama menyentuh perancangan kedua-dua negara untuk menandatangani MoU mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (ESTCA) pada masa hadapan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.