Masyarakat Pelbagai Kaum Dan Agama Meriahkan Aidilfitri DUN Bertam
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Kehadiran ribuan masyarakat pelbagai kaum dan agama pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Bertam semalam memperlihatkan hubungan masyarakat di Kepala Batas dan keluarga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam cukup erat.
Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Nainan Merican serta pimpinan masyarakat setempat lain sekaligus mengukuhkan lagi hubungan yang sedia terjalin.
Reezal menerusi perkongsian di Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir memeriahkan sambutan Aidilfitri pada kali ini dan menyifatkan kehadiran luar biasa.
“Indahnya kemeriahan Aidilfitri tahun ini dengan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Bertam. Saya amat teruja dengan kemeriahan sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri kali ini dengan kehadiran tetamu yang di luar jangkaan dari kalangan Keluarga Besar Bertam dan Kepala Batas serta rakan-rakan taulan yang jauh dan dekat, berbilang bangsa dan agama.
“Alhamdulillah, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Bertam ini juga telah diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan isteri.
“Sesungguhnya saya dan warga Kepala Batas amat berterima kasih atas kehadiran semua dan hubungan yang sedia terjalin terus kukuh,” katanya.
Pada majlis berkenaan Reezal yang juga Ketua UMNO Kepala Batas turut menyerahkan sumbangan kepada Yayasan Amal TYT Pulau Pinang melalui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Datuk Seri Sr. Rozali Mohamud.
“Sumbangan tersebut bagi menyokong inisiatif yang dilaksanankan oleh Yayasan Amal TYT Pulau Pinang melalui program-program berorientasikan kesihatan, pendidikan, sosial, ekonomi dan alam sekitar,” ujarnya. – UMNO Online