Malaysia Seru Kukuhkan Perpaduan Negara Anggota OIC Untuk Hadapi Cabaran Dalam Dunia Islam
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Malaysia menyeru supaya perpaduan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diperkukuh bagi menghadapi cabaran yang dihadapi Dunia Islam, terutamanya dalam menangani keadaan di Palestin dan Timur Tengah.
Ketika menyampaikan kenyataan negara pada Sidang Kemuncak Islam ke-15 di Banjul, Gambia, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa OIC supaya terus memperhebatkan usaha bersama negara lain untuk mencapai empat perkara utama berhubung Palestin.
Empat perkara itu ialah melaksanakan gencatan senjata dengan segera dan berkekalan, menyediakan akses selamat dan tanpa gangguan untuk penghantaran bantuan, memastikan kebertanggungjawapan Israel terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa dan penerimaan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, katanya.
Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) pada Isnin selepas berakhirnya sidang kemuncak itu, Mohamad yang mewakili Malaysia pada persidangan itu juga menggesa OIC untuk menggandakan usahanya dalam memerangi Islamofobia.
“Menteri Luar juga mengetengahkan inisiatif Malaysia untuk mempromosi dialog antara agama dan antara budaya bagi memupuk keamanan, kesederhanaan dan toleransi agama sebagai pendekatan untuk merapatkan jurang ketidakfahaman yang menjurus kepada Islamofobia,” kata Wisma Putra.
Sidang Kemuncak itu dianjurkan oleh OIC.
Wisma Putra berkata Mohamad juga menggesa OIC untuk meneruskan usaha membantu minoriti Muslim di luar negara OIC termasuk Rohingya selain menambah baik keadaan mereka.
Beliau juga menekankan keperluan untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota OIC untuk memacu ke hadapan agenda pembangunan mampan.
Wisma Putra berkata Mohamad menyertai satu perbincangan semasa taklimat oleh Menteri Kehakiman dan Peguam Negara Gambia dalam perkembangan prosiding kes Gambia melawan Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan isu Rohingya.
“Malaysia memuji usaha Gambia bagi pihak OIC dan memandang ICJ sebagai laluan berwibawa untuk meletakkan ketanggungjawapan terhadap kekejaman ke atas Rohingya,” katanya.
Wisma Putra berkata sidang itu menerima pakai tiga dokumen – Kenyataan Akhir Sidang Kemuncak Persidangan Islam ke-15, Deklarasi Banjul dan Resolusi mengenai Isu Palestin dan Al-Quds Ash-Sharif.
Dokumen-dokumen ini menekankan komitmen dan inisiatif yang akan diambil negara anggota OIC dalam menangani cabaran dihadapi ummah, katanya.
Semasa di Banjul, Wisma Putra berkata Mohamad bertemu dengan rakan sejawat dari Bangladesh Dr Hasan Mahmud untuk membincangkan cara meningkatkan kerjasama dua hala, termasuk meneroka peluang perniagaan, perdagangan dan pelaburan baharu. – BERNAMA