Semua Pihak Perlu Tekad Urus Parti Sebaiknya Demi Masa Depan UMNO – Mahdzir

PADANG TERAP, 4 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru semua pihak bertekad mengurus parti sebaiknya untuk dibekalkan kepada generasi masa depan UMNO dan negara.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Padang Terap itu, semua pendukung juga perlu mempunyai keikhlasan untuk mengembalikan kegemilangan parti dengan mengetepikan segala tohmahan dan politik persepsi yang dilemparkan pihak lawan.

Menurutnya lagi, UMNO tidak pernah lari daripada asas perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“UMNO adalah sebuah parti yang jelas perjuangannya untuk agama, bangsa dan negara. Takkan lari (dari asas perjuangan). Sebagai contoh Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang pengerusi Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Berapa bilion yang dilaburkan oleh MARA untuk anak-anak kita belajar… tiada dipotong (peruntukan) malah tambah. Yang terbaharu hafiz berkemahiran TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dengan peruntukan kerajaan. Tadika Kemas yang dimasukkan silibus pra huffaz. Ini yang kita buat dan perkara yang dipersetujui ketika mahu menubuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika berucap di program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO dan majlis perasmian persidangan kelompok UMNO cawangan dalam Bahagian Padang Terap di sini hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kepimpinan negeri dan bahagian serta wakil daripada 143 cawangan dalam Bahagian Padang Terap.

Untuk rekod, uniknya di Bahagian Padang Terap, terdapat 11 UMNO Cawangan yang terdiri daripada masyarakat Siam.

Dalam ucapannya, Mahdzir turut menyentuh mengenai projek Kedah Rubber City di Padang Terap dan memohon diberi perhatian oleh kerajaan pusat.

“Perdana Menteri Keenam Datuk Seri Mohd Najib Razak pada 2017 telah meluluskan projek Kedah Rubber City di kawasan Padang Terap di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara dan diberi peruntukan tahun berikutnya.

“Walaupun begitu pada 2018 selepas Pilihan Raya Umum (PRU), tahun 2019 dan 2020 ketika Tun Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri, ia tidak dijalankan.

“Mohon kerajaan beri perhatian. Insya-Allah jika jadi anak-anak muda di sini lebih kurang lima enam ribu orang boleh bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir juga berkata UMNO Bahagian Padang berdiri bersama dan menyokong kepimpinan Presiden yang telah banyak ditohmah dan difitnah oleh pihak lawan. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit