Tekad Didik Kesedaran Penyakit Mental, Puteri UMNO Anjur Program Naskhah Mental

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Dengan tekad untuk mendidik masyarakat mengenai penyakit mental, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bersama Kretip Malaya telah menganjurkan program ‘Lelaki Itu: Naskhah Mental’, semalam.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, mengambil inspirasi daripada drama ditulis dan diterbitkan oleh Erma Fatima, beliau menyedari bahawa penyakit mental merupakan sesuatu yang tidak asing lagi dalam masyarakat kini.

“Program ini adalah ‘Lelaki Itu: Naskhah Mental’. Kita perhatikan drama ditulis oleh Erma Fatima ini, banyak karakternya yang melibatkan isu kesihatan mental seperti kemurungan dan sebagainya.

“Jadi, kita tahu masalah ‘depression’ ini memang selalu terjadi dalam kalangan masyarakat pada masa kini sama ada mereka sedar ataupun tidak.

“Saya bersama-sama dengan Kretip Malaya menganjurkan program dan kita panggil mereka bersama ustazah untuk mengupas dari segi kerohanian serta bagaimana para pelakon menjiwai watak ketika melakonkan drama ini. Apabila kita membawa watak tersebut, mesti kita kena mendalaminya. Sebab itu kita buat program malam ini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian selepas program wawancara ‘Lelaki Itu: Naskhah Mental’ yang diadakan di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), malam tadi.

Menurutnya, beliau telah dicabar secara terbuka oleh penulis drama tersebut untuk menganjurkan program berskala besar bagi membuka mata masyarakat mengenai penyakit mental.

“…dan Insya-Allah, tadi saya dicabar secara terbuka oleh beliau untuk anjurkan program berskala besar maka nantikan program kedua dijangka akan diadakan pada bulan Mei ini.

“Harapannya adalah supaya lebih ramai dapat kita bantu. Macam yang saya cakap tadi, mungkin ada yang perasan, tahu dan tidak tahu bahawa mereka menghidap penyakit mental pada tahap mana. Sama ada teruk ataupun tidak,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar program yang dianjurkan ini dapat membantu lebih ramai masyarakat yang disahkan menghidap penyakit mental ini mendapatkan bantuan.

“Jadi, dalam keadaan sekarang ini, kita cuba bantu yang terbaik. Sama ada rakan sebaya, keluarga ataupun sebagainya. Mungkin bagaimana saya nak rangka program ini agar dapat membantu mereka, kita akan kaji dan lihat semula.

“Dengan harapan agar ‘awareness’ ataupun kesedaran dapat kita sebarkan seluasnua. Kalau dia tidak sakit, mungkin dia boleh menjadi penasihat ataupun pengubat kepada orang-orang awam di sekeliling dia,” katanya lagi.

Turut hadir ke sesi wawancara tersebut adalah penulis dan penerbit drama ‘Lelaki Itu’, Erma Fatima, penceramah agama, Ustazah Asni Mansor dan barisan pelakon drama tersebut iaitu Datuk Adi Putra, Fazura dan Ameerul Asyraf. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.