PM Dan Kerajaan Perlu Berhati-hati Melayani ‘Wish List’ Mengarut Kedah – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Perdana Menteri dan kerajaan perlu berhati hati serta tidak perlu mengambil serius berhubung  ‘wish list Kedah’ yang dilihat mengarut dan syok sendiri.

Bagi Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, begitu juga pihak Kementerian Pengangkutan yang perlu membuat penilaian sebaiknya berhubung LRT Langkawi kerana akhirnya akan memalukan negeri berkenaan.

“Sebab pada akhirnya nanti, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan berjaya pun laksanakan projek-projek mega ini nanti. Kita lihat sahaja projek KXP, KRC, Widad Langkawi, Projek Litar Lumba dan macam-macam lagi. Hujung-hujung, kerajaan persekutuan juga dipersalahkan.

Baru baru ini Kerajaan Negeri Kedah  baru sahaja menanda tangani MOU bersama sebuah syarikat di Korea Selatan untuk membina LRT Langkawi menggunakan teknologi kereta api Maglev,” katanya dalan satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi cadangan untuk membina kereta api Maglev di Langkawi adalah sebuah cadangan yang sangat tidak realistik dan tidak sesuai dengan keperluan semasa.

“Besar mana pula Langkawi sampai perlu kereta api laju? Banyak mana pula pelancong dan penduduk di Langkawi sampai perlu kereta api dengan kapasiti ratusan ribu penumpang.

“Sebab itu ‘wish list’ Sanusi ini adalah sebuah permintaan yang tidak guna akal dan fikiran. Macam budak-budak minta hadiah macam-macam dari Santa Klaus. Nanti bila tidak dapat, bakal meroyan salahkan semua pihak.

“Kita sendiri pun tahu niat Sanusi umum projek sana sini sebab hendak nampak seolah-olah dia buat kerja sahaja, sekadar hendak dapatkan perhatian rakyat sahaja. Perlaksanaannya akan hancur juga.”

Namun katanya, itulah perangai Sanusi yang suka sangat menanam tebu di tepian bibir. 

“Cakap pandai buat tidak pandai… usahlah kerajaan menjadi baja dan membiarkan aktiviti penanaman tebu ini semakin subur,” ujarnya.

Ujar beliau lagi Perdana Menteri dan kerajaan juga harus memperkasa dan memberi keyakinan kepada agensi kerajaan persekutuan termasuk ICU di Negeri Kedah dalam mengendalikan projek projek pembangunan kepada secara terus. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit