Kerajaan Perpaduan Peka Dengan Rintihan Dan Keluhan Rakyat – Azalina

KUALA KUBU BHARU, 1 Mei – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said menasihati calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao agar memahami dan fokus isu-isu tempatan terutamanya rakyat Kuala Kubu Bharu.

Menurutnya, walaupun negeri ini dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) namun ia perlu peka dengan rintihan dan keluhan suara hati rakyat.

“Saya menasihati calon Kerajaan Perpaduan sekiranya hendak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu fokus pada isu-isu tempatan. Jangan kita perbodohkan rakyat, jangan kita ‘jual-jual’ setelah menang tiada di situ, tidak tinggal di kawasan, tidak tunai janji, sekiranya boleh buat katakan boleh, sekiranya tidak boleh… katakan tidak boleh.

“Alhamdulillah… Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) maka dengan adanya wakil dari PH banyak kemajuan boleh diberi kepada pengundi di sini dan ia boleh dijadikan ‘priority’ pada pengundi di sini.

“Kuala Kubu Bharu ini memang pusat pelancongan yang begitu terkenal dan calon Kerajaan Perpaduan kena fokus pada isu-isu tempatan, isu orang meniaga dan sebagainya,” katanya ketika bersama calon Kerajaan Perpaduan di PRK Kuala Kubu Bharu, semalam.

Mengulas lanjut Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi) berkata kematangan berpolitik sangat penting dan perlu ada kekuatan parti yang akan menjadi tulang belakang seseorang calon.

“Kematangan berpolitik dan mempunyai kekuatan parti di belakang. Kekuatan parti ialah nasihat daripada mereka yang berpengalaman. Paling penting apabila datang dari parti politik yang lama dan mempunyai ‘connection’ dan pengalaman yang kuat.

“Ini yang akan membantu seorang wakil rakyat sama ada yang baharu atau pun lama menjalankan tugasan sebagai wakil rakyat. Sebab rakyat tidak boleh dipergunakan kerana ‘priority’ kita pada pilihan raya mencari pengganti wakil rakyat yang telah tiada,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang menjelaskan pilihan raya ini perlu ada kesinambungan untuk adanya wakil rakyat yang dapat membawa kemajuan pada masyarakat.

“Kita nampak calon Kerajaan Perpaduan ini berpengalaman dari segi politik. Tiada beza calon yang dahulu dan sekarang ini adalah kesinambungan isu tempatan dan kehendak masyarakat dan pada 12 April ini mereka yang menang akan hidup bersama rakyat Kuala Kubu Bharu.

“Harap-harap dipilih yang terbaik untuk mereka. Ingat… yang akan tinggal selepas hari pengundian hanya pengundi,” ujarnya.

Calon Kerajaan Perpaduan dari Dap, Pang Sock Tao akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) dari BERSATU, Khairul Azhari Saut, Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin calon Bebas.

SPR menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pagi ini sehingga 11.59 malam, 10 Mei.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.