Kerajaan Kedah Digesa Bijaksana… Antara Keperluan Dan Kehendak Rakyat, Yang Mana Harus Diutamakan
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Ketua Wanita UMNO Langkawi, Hisham Suhaily Othman menggesa Kerajaan Negeri Kedah untuk selesaikan dahulu masalah jangka pendek seperti kemasukan pelancong dan mutu perkhidmatan feri di Langkawi.
Tegasnya yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia, hal kebajikan rakyat khususnya bekalan air yang sudah lama tidak tertanggung di pulau berkenaan juga perlu ditangani.
“Gunakanlah kebijaksanaan memimpin dalam diplomasi agar akhirnya kelebihan berpihak kepada rakyat Langkawi. Jangan hanya menabur janji manis dan umpanan politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkaitan perancangan Kerajaan Negeri Kedah yang mahu membina sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Langkawi yang dicadangkan dari Terminal Feri Kuah ke Pantai Chenang selain cadangan pembinaan empangan air bawah tanah menguna pakai model empangan dari Jepun untuk mengatasi masalah bekalan air di Langkawi.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah berusaha sedaya upaya dalam merancang pelbagai projek pembangunan mega demi melestarikan Langkawi dan juga rakyatnya. Muncul juga spekulasi samada yang positif mahupun sebaliknya untuk membina prasarana mega seperti ini, namun pastinya ia memerlukan kerjasama dan kelulusan dari berberapa pihak termasuklah dari Kerajaan Persekutuan.
“Pelbagai aspek perlu diperhalusi dan dibincangkan bersama. Begitu juga dengan kesesuaian projek mega ini dalam memberi kesan ekonomi kepada rakyat Langkawi.
“Saya mengambil contoh kesan ekonomi kepada pengusaha teksi, kereta sewa dan pemandu e-heiling jika projek LRT ini telah dilaksanakan. Sudah semestinya mereka ini tidak dapat cari makan. Sedangkan sewaktu ini pun mereka ibarat kais pagi makan pagi.”
Ujar Hisham Suhaily, tindakan ini juga seharusnya dibincangkan sehingga ke peringkat dasar kerana sekiranya tidak berlakunya perbincangan dan persefahaman ini maka kelulusan atau tindakbalas menjadi lebih lambat.
“Di situlah permainan politik salah menyalah akan bermula.
“Segala kebaikan pastinya kita akan menyokong, tetapi dengan kehidupan rakyat yang menekan pada hari ini, sudah tentu kita tidak mahu mengundang mana-mana masalah lagi khususnya kepada rakyat Langkawi,” katanya lagi. – UMNO Online