Siasatan MB Perlis: ‘Bersangka Baik Dengan SPRM’ – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 30 April – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak bersangka baik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas agensi itu merakam percakapan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli untuk membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa.

“Kita berhusnuzon, berbaik sangka dan serahkan kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan kita lihat sama ada SPRM sediakan IP (kertas siasatan) dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada media selepas Majlis Semarak MADANI Kompleks C, di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya siasatan SPRM itu ada asas, maka tindakan seterusnya adalah menyerahkan perkara itu kepada pihak mahkamah.

“Kita tak ada kena mengena dengan apa-apa peristiwa sebelum dan selepas itu,” katanya.

Terdahulu hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan Menteri Besar Perlis telah dirakam percakapan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Dua hari lepas SPRM mengesahkan pihaknya sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara tanah air kerana disyaki melantik beberapa syarikat dipercayai mempunyai kepentingan dengannya membabitkan projek pembekalan dianggar bernilai RM300,000.

Sumber SPRM berkata pemimpin itu juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan, yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta, dan agensi itu dipercayai mempunyai kepentingan dengan anak pemimpin berkenaan.

Media baru-baru ini melaporkan lima individu termasuk anak Mohd Shukri ditahan SPRM berhubung kes membuat tuntutan palsu berjumlah hampir RM600,000. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit