PRK KKB: Bantu, Bekerjasama Dengan Dap Bukan Bererti UMNO Gadaikan Prinsip – Gulam
KUALA LUMPUR, 29 April – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar menegaskan bahawa membantu dan bekerjasama dengan Dap di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) bukannya bererti UMNO mengadaikan prinsip-prinsip politiknya.
Jelasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu, Dap adalah rakan UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Selangor dengan ada seorang Exco Datuk Rizam Ismail yang mewakili UMNO untuk membuat, memantau dasar dan polisi kerajaan negeri demi kebajikan dan kesejahteraan warganya.
“Terdapat lebih 4,000 ahli UMNO di KKB, jangan sia-siakan undi anda dengan memberi undi pada Perikatan Nasional (PN) yang tidak pernah pun membalas jasa UMNO bila kita berada di dalam kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Mereka hanya mencari Presiden UMNO, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas ‘Langkah Sheraton’ untuk menyelamatkan diri ibarat melepas anjing tersepit. Akhirnya, UMNO sendiri digigit sehingga luka dan cedera parah. Itulah ‘jasa’ yang tiada tolok bandingnya. Fikir-fikirkanlah,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai kenyataan balas ekoran terdahulu kecoh apabila Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan ahli-ahli UMNO perlu balas jasa Dap di PRK KKB bagi memenangi kerusi DUN tersebut dengan mengatakan UMNO telah mengadai prinsip dan yang paling hinanya telah menjadi barua kepada Dap.
“Isu lama dan lapuk ‘recycle’ dijadikan modal politik.
“Cuma saya ingin bertanya, adakah sebelum ini Pas dan Bersatu tidak pernah membalas ‘jasa’ apabila pernah bersama dalam gabungan politik mereka. Mereka lupa atau buat-buat lupa… tapi rakyat tidak lupa.
“Pernah satu ketika dulu di atas pentas politik mereka minta orang Melayu dan Islam undi Dap dengan dalil politik demi mengalahkan UMNO.”
Bidas Gulam, ‘jasa’ terbesar mereka adalah cuba menjatuhkan kerajaan UMNO di Pusat dan negeri, malah ‘jasa’ terbesar mereka apabila Tun Mahathir dan Muhyiddin dari Bersatu bergabung dengan Dap ketika Pilihan Raya Umum ke-14.
“Semua tahu UMNO kalah dan bermula detik itu, episod pemimpin-pemimpin UMNO seperti Bossku, Datuk Seri Ahmad Zahid, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Tan Sri Shahrir Samad, Datuk Seri Ahmad Maslan ‘dijasakan’ dengan pendakwaan politik hinggakan Bossku dihumban ke tirai besi.
“’Jasa’ Tun M juga amat besar bila ‘membuka jalan’ dengan memberi jawatan paling penting dalam negara iaitu Menteri Kewangan kepada Lim Guan Eng dan beberapa jawatan strategik kepada pemimpin Dap.
“Bagus dan banyak ‘jasa’ parti Bersatu kepada Dap. Kini Bersatu mengatakan UMNO barua Dap, dulu Bersatu kita nak panggil apa? Ibarat pepatah Melayu ‘menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri’,” katanya lagi.
Pada Sabtu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata PRK KKB adalah waktu untuk BN membalas jasa Pakatan Harapan (PH) yang telah membantu calon UMNO pada beberapa siri pilihan raya sebelum ini iaitu di PRK DUN Tioman, DUN Pelangai dan Parlimen Kemaman.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, justeru, BN akan menggerakkan jenteranya untuk membantu calon PH yang mendukung Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online