Majlis Santunan Kasih Syawal Meriah, Ahmad Zahid Santuni Pelbagai Lapisan Masyarakat

PUTRAJAYA, 27 April – Sri Satria menjadi tumpuan malam ini apabila orang ramai memeriahkan Majlis Santunan Kasih Syawal Bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang diadakan di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri.

Majlis yang bermula pada pukul 8.00 malam hingga 11.00 malam itu dihadiri oleh masyarakat berbilang kaum yang mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan Datuk Seri Ahmad Zahid di samping menikmati juadah yang disediakan.

Orang ramai berpusu-pusu sejak awal lagi dan masing-masing menikmati pelbagai menu yang disediakan seperti sate yang boleh dikatakan menu ‘wajib’ di mana-mana sambutan Aidilfitri.

Selain sate, roti john, murtabak, laksa serta, mee goreng mamak dan pelbagai juadah lain serta pelbagai jenis air minuman disediakan kepada pengunjung yang hadir.

Datuk Seri Ahmad Zahid dan isteri serta kakitangan Pejabat Timbalan Perdana Menteri serta Kementeian Kemajuan Desa dan Wilayah terus menyantuni tetamu yang hadir sambil masing-masing menikmati juadah.

Ada yang ‘berswafoto’ bersama Ahmad Zahid dan majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan pelbagai artis lama dan baharu termasuk penyanyi cilik, Amir Sisi.

Terdahulu pada sebelah petang Ahmad Zahid turut meraikan menteri-menteri kabinet serta duta-duta yang turut hadir memeriahkan suasana Majlis Santunan Kasih Syawal bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit