Nahas Helikopter: Khaled Seru Rakyat Malaysia Bersatu Hati, Titip Doa Buat Mereka
KUALA LUMPUR, 24 April – Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama bersatu hati, menitipkan doa dan ingatan buat kesemua mereka yang terkorban dalam nahas helikopter semalam.
Beliau berkata, kehilangan mereka cukup besar buat negara.
“Kehilangan mereka cukup besar buat negara. Mereka telah mengabdikan diri hingga ke akhir hayat, semata-mata demi keselamatan dan kedaulatan tanah air kita.
“Kerajaan akan terus menghulurkan bantuan buat wira-wira kita dan waris-warisnya, termasuk dalam urusan perjalanan terakhir mereka. Terima kasih, wira-wira negara. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Terdahulu, selepas menerima perkhabaran duka mengenai tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Khaled telah ke sana untuk melihat sendiri lokasi kejadian.
“Di Hospital Angkatan Tentera Malaysia Pangkalan TLDM, saya telah bertemu waris-waris wira-wira negara yang terkorban hari ini. Tiada kata yang mampu saya katakan, selain daripada mendoakan Allah SWT memberikan kekuatan buat mereka untuk menghadapi dugaan sebesar ini.”
Dilaporkan, semalam negara dikejutkan dengan satu insiden yang mendukacitakan apabila dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM Lumut.
Insiden ini berlaku ketika raptai Perbarisan Hari TLDM pada jam 9.32 pagi yang melibatkan dua buah helikopter TLDM jenis Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan helikopter FENNEC dan mengorbankan 10 anggota TLDM, masing-masing tujuh kru HOM-AW139 TLDM dan tiga kru FENNEC TLDM. – UMNO Online