Saranan Pengerusi Bersama MTPN Kedah Dinilai Semula Berasas – Pemuda UMNO Kedah

KUALA LUMPUR, 23 April – Saranan agar Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPN) Kedah dinilai semula dan meletakkan mereka yang sewajarnya terutama pimpinan yang sehaluan dengan kerajaan pusat berasas.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Kedah, Mohd Raqib Abu Hassan berkata penilaian semula itu amat penting dalam usaha melestarikan lagi pembangunan negeri berkenaan demi kepentingan rakyat serta negeri Kedah itu sendiri.

“Saya ada terbaca dan tertarik untuk mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Kedah mengenai cadangan agar Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Pengerusi Bersama MTPN.

“Kami amat bersetuju dan melihat cadangan serta saranan berkenaan amat berasas kerana beberapa faktor. Lagi pun sudah-sudahlah kita membiarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bergaduh dan berkelahi dengan kerajaan pusat.

“Kita tahu-tahu sahaja banyak projek-projek kerajaan pusat yang tertangguh. Kita merasakan semua pihak perlu sedar betapa pentingnya projek-projek daripada kerajaan pusat kerana kebanyakan projek ini adalah untuk kebaikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO Negeri berkenaan Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berpandangan jawatan MPTN negeri Kedah wajar dikaji serta dinilai semula.

Baginya jawatan itu perlu diberikan kepada seseorang individu yang mempunyai hasrat dan hala tuju yang selari dengan kerajaan persekutuan.

Mohd Raqib seterusnya menambah perlantikan Mahdzir sudah pasti akan memberi kemudahan dan sekaligus sealiran serta sehaluan dengan pimpinan yang ada di peringkat pusat.

“Kerajaan negeri dan kerajaan pusat juga akan bekerja dengan lebih erat tanpa perlu melayan kepentingan politik dan kerenah birokrasi yang ada. Akhirnya siapa yang akan menikmati kebaikan ini… bukankah rakyat Kedah.

“Mudah cerita, lebih banyak faedah daripada keburukan jika kita Datuk Seri Mahdzir menjadi Pengerusi Bersama MTPN Kedah. Atau setidak-tidaknya lebih baik daripada keadaan sekarang. Kerajaan Perpaduan harus bertindak segera dan tidak membuang masa demi kesejahteraan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Kedah,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit