Kukuhkan Kesetiaan Demi Kesinambungan Perjuangan UMNO Sabah – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengimbau kembali ujian demi ujian UMNO Sabah pada satu ketika dan percaya hari ini UMNO negeri berkenaan terus mengorak langkah ke depan.

Berkongsi sejarah perit getir berkenaan pada Perasmian Serentak Persidangan Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Putatan, Sabah dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bahagian berkenaan semalam, beliau menegaskan pelbagai ujian demi ujian tidak pernah melunturkan semangat perjuangan masing-masing.

“Ujian demi ujian ditempuhi bersama sebagai keluarga besar UMNO Sabah dengan sabar dan penuh istiqamah. Namun, usaha mesti diteruskan dan yakinlah ianya pasti akan mengangkat darjat kita agar kembali gemilang. Insya-Allah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau seterusnya menambah UMNO akan terus menjadi sebuah parti harapan kepada seluruh rakyat di negara ini dalam usaha menjaga kepentingan dan kebajikan seluruhnya.

“UMNO akan terus jadi parti sandaran rakyat untuk memajukan negeri ini dan membela kebajikan mereka. Percayalah kita akan laksanakan yang terbaik demi rakyat Sabah.

“Atas kapasiti saya sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), saya juga menyebut komitmen saya untuk memastikan keberkesanan setiap usaha pembangunan memberikan impak dan keberhasilan kepada Sabah dan rakyatnya.

“Saya juga akan memastikan anak-anak Sabah untuk turut terlibat dengan TVET agar mereka dilengkapkan dengan kemahiran agar mereka mampu berdikari dan masuk ke dalam pasaran kerja berkualiti sekaligus menjana ekonomi negeri,” ujarnya.

Beliau seterusnya berharap agar seluruh ahli parti  terus istiqamah dan bersama-sama dalam satu saf perjuangan khususnya untuk rakyat serta negeri berkenaan.

“Marilah bersama-sama kita berjuang agar memastikan UMNO terus relevan di negeri bertuah ini. Saya amat optimis rakyat akan kembali memberikan sokongan kepada kita semula,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.