UMNO Kedah Junjung Kasih Titah Adendum, Harap Berjalan Sesuai Lunas Perundangan
KUALA LUMPUR, 18 April – UMNO Negeri Kedah menjunjung kasih atas Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan berharap agar ia dapat berjalan sesuai dengan lunas perundangan negara.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO Kedah merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana telah memfailkan afidavit tambahan tersebut.
“UMNO Kedah ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana tampil dengan memfailkan Afidavit Tambahan Nombor 3 bagi menyokong petisyen Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berhubung dengan kewujudan Titah Adendum mengenai tahanan rumah untuk bekas Perdana Menteri itu.
“Bagi UMNO Kedah, tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid membuat afidavit tambahan itu atas nama Timbalan Perdana Menteri membuktikan dua perkara penting. Pertama, ia menjadi manifestasi usaha pembelaan terhadap Datuk Seri Najib oleh Datuk Seri Zahid melaksanakan amanah parti yang mahukan usaha pembelaan diteruskan buat bekas Presiden parti berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau turut beranggapan bahawa usaha yang dilakukan oleh Ahmad Zahid adalah pembuktian bahawa beliau memuliakan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Keduanya, ia adalah pembuktiaan Timbalan Perdana Menteri sebenarnya memuliakan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menyebut mengenai ‘tahanan rumah’ kepada Datuk Seri Najib.
“Dalam konteks ini, UMNO Kedah menjunjung kasih atas Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang menurut afidavit tambahan itu sebagai Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama dalam proses pengampunan yang dipohon oleh Datuk Seri Najib.
“Sehubungan itu, UMNO Kedah berharap, proses perundangan terbaharu yang diambil oleh Datuk Seri Najib dengan disokong oleh afidavit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan dapat berjalan sesuai dengan lunas-lunas perundangan negara,” katanya lagi.
Semalam media melaporkan ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, disahkan ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Titah Adendum itu menitahkan supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. – UMNO Online