Manfaat Syawal Perkukuh Silaturahim, Selami Masyarakat Akar Umbi – Awang Aslee

KUALA PENYU, 18 April – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat mengajak ahli-ahli UMNO untuk sama-sama memanfaatkan bulan Syawal bagi mempererat silaturahim.

Katanya, hari raya ini perlu digunakan sebagai ruang yang bukan hanya di kalangan anggota parti iaitu melibatkan kepimpinan atas hingga ke akar umbi tetapi juga dengan masyarakat keseluruhan.

“Hari raya ini adalah waktu untuk kita menghargai masa bersama keluarga, rakan-rakan dan menjalin silaturahim dengan orang ramai di semua peringkat akar umbi. Masa yang ada inilah peluang untuk saling kunjung mengunjungi termasuklah memperkukuh hubungan dengan rakan-rakan seperjuangan,” katanya kepada UMNO Online.

Sebelum itu, beliau bersama-sama ahli jawatankuasa bahagiannya termasuk Naib Ketua UMNO bahagian, Md Rashid Mathon dan Ketua Wanita, Juriffah Safflie telah mengunjungi Ketua Penerangan UMNO Beaufort, Ag Damit Jion di Kampung Tempurong dan kemudian ke Kampung Menumbok ke rumah Ketua Cawangan UMNO, Ahmad Said.

Turut diziarahi ialah rumah Mohd. Fadzlee Lee Abdullah yang merupakan ahli jawatankuasa bahagian merangkap Ketua PDM Menumbok.

Jelas Awang Aslee, jalinan yang kukuh perlulah diaplikasi melibatkan semua peringkat dan yang paling penting adalah kepimpinan yang perlu menjadi contoh kepada masyarakat keseluruhan.

“Kita sebagai pemimpin perlu memulakan dan menjadi contoh kepada masyarakat keseluruhan iaitu perkukuh ikatan dan saling berkunjungan.

“Melalui program-program ziarah yang diadakan kita akan dapat memperkukuh muafakat di samping dapat bertukar-tukar pandangan dalam ruang yang lebih santai dan akrab. Harapan saya moga sifat kasih sayang dan kebersamaan sebagai keluarga dan saudara ini dapat dikekalkan.”

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa Biro Kebajikan UMNO Beaufort juga giat melaksanakan agenda turun padang dan program ziarah ke rumah-rumah masyarakat setempat.

“Lantaran kekangan masa, saya telah diwakili oleh rakan-rakan seperjuangan yang turun menziarah beberapa keluarga yang dilanda musibah dan kehilangan orang tersayang.

“Gerak kerja aktif tersebut dilaksanakan bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarga mereka di Kampung Darat Menumbok dan di Kampung Tidong agar sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban selain tanda sokongan bahawa kita sentiasa ada bersama mereka,” katanya.

Jelas beliau, sumbangan turut diberikan kepada keluarga yang bakal mengadakan majlis kenduri perkahwinan dalam tarikh terdekat.

“Semoga dengan sumbangan prihatin ini dapatlah meringankan sedikit beban perbelanjaan dan semoga majlis yang direncanakan akan berlangsung dengan lancar,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.