Ahmad Zahid Rakam Takziah Kepada Arthur Sekeluarga
KUALA LUMPUR, 18 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup serta keluarga atas pemergian Tan Sri Joseph Kurup, yang meninggal dunia semalam.
Beliau yang mewakili Barisan Nasional (BN) dalam hantaran di Facebooknya menzahirkan ucapan setinggi-tinggi takziah kepada Arthur sekeluarga dalam menghadapi ujian itu.
“Semoga segala kenangan dan kasih sayang yang dikongsi bersama sahabat baik saya, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, menjadi kekuatan keluarga dalam detik duka ini. Saya berharap agar semangatnya terus hidup dalam hati kita.
“Mendiang merupakan seorang rakan yang pernah berada bersama dalam Kabinet, seorang teman yang sentiasa bersemangat mendukung obor perjuangan parti tatkala susah dan senang. Pemergian beliau pastinya meninggalkan seribu satu kenangan buat saya dan rakan-rakan seperjuangan,” katanya.
Turut sama memberikan ucapan takziah ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Beliau menyifatkan mendiang sebagai seorang rakan, tokoh politik dan pemimpin yang amat disegani.
“Perjuangan dan sokongan beliau bersama BN amat dihargai dan kini disambung legasinya oleh anak beliau, YB Arthur. Saya mewakili BN menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang Tan Sri Joseph Kurup. Semoga terus kuat dan tabah dengan berita ini,” katanya.
Terdahulu dilaporkan Joseph Kurup yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, malam tadi.
Bekas Ahli Parlimen Pensiangan itu pernah memegang beberapa jawatan penting antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Intergrasi Nasional) dan bersara daripada politik tahun lepas selepas memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti itu pada 1994. – UMNO Online