Afidavit Bukti Ahmad Zahid Sentiasa Berusaha Membantu Mohd Najib, Muliakan Titah Agong

KUALA LUMPUR, 18 April – Afidavit yang ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi bukti bahawa beliau sentiasa berusaha untuk membantu mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan memuliahkan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin berkata, peristiwa yang berlaku pada 9 April lalu melambangkan ketulusan dan keikhlasan Ahmad Zahid atas persahabatan mereka.

“Tulus dan sejati. Itulah yang mampu saya ungkapkan pada petang terakhir Ramadhan, 9 April 2024 apabila menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menurunkan tandatangannya ke atas afidavit untuk menyokong petisyen Datuk Seri Najib Razak berhubung dengan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengenai tahanan rumah. Malah hari itu juga beliau baru kembali tidak sampai 24 jam pun daripada menunaikan umrah di Tanah Suci.

“Sekilas saja ingatan saya terus melayang tatkala Mahkamah Persekutuan (23 Ogos 2022) memerintahkan Datuk Seri Najib dihantar ke penjara. Kajang masih terngiang nama Ahmad Zahid yang pertama keluar dari mulut beliau.

“Datuk Seri Zahid yang terpempan di galeri awam mahkamah bingkas bangun mendapatkan beliau. Genggamam erat tangan dua sahabat walaupun terlepas apabila beliau diiringi untuk ke Penjara Kajang, namun tali persahabatan kedua mereka tidak putus. Sejak dari itu beliau tidak pernah berhenti melakukan usaha demi sahabatnya yang dipenjara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya sebagai orang yang sering menjadi perantara dan amat rapat dengan keluarga Mohd Najib, tiada satu pun ruang pembelaan yang dilepaskan oleh Ahmad Zahid terhadap beliau.

“Walaupun ada yang cuba merekayasa kononnya Datuk Seri Zahid tak berbuat apa-apa, walaupun ada yang ‘cuba menangguk di air keruh’ kononnya mereka menjadi pembela Najib, hakikatnya jasad yang berada di sebalik tirai besi itu tahu sahabatnya tidak pernah kenal erti jemu dalam mencari usaha mendapatkan pembelaan buat dirinya.

“Mengenali Datuk Seri Zahid… sedekah yang dihulur pun tak pernah nak dijaja apatah lagi langkah membela sahabat sejatinya. Cukup untuk saya menyebut sebagai orang yang sering menjadi perantara dan amat rapat dengan Datuk Seri Najib serta keluarganya, tidak ada satu pun ruang perundangan mahupun rundingan dilepaskan oleh Datuk Seri Zahid untuk membela nasib beliau.

“Kemuncaknya agenda pengampunan bossku diangkat ke Lembaga Pengampunan. Apakah pengampunan ini tiba-tiba dibawa dalam agenda tanpa sebarang usaha rundingan atau langkah-langkah politik? Sudah tentu usaha usaha ini bukan bertujuan untuk dijaja atau dijadikan drama. Kerana bagi Datuk Seri Zahid setiap langkah yang diambil adalah atas keikhlasan dan kesetiaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa afidavit yang ditandatangani oleh Ahmad Zahid merupakan usaha kemuncak untuk sahabatnya, Mohd Najib.

“Takkan setiap usaha beliau perlu dihebahkan. Bayangkan apabila beliau secara terbuka memaklumkan pernah mengadakan pertemuan dengan Najib di penjara semasa Perhimpunan Agung UMNO 2023, semua serangan dan cercaan dilemparkan kepada beliau. Pada ketika itu kumpulan yang pernah berada di Putrajaya, memegang tampuk kuasa tidak berbunyi sepatah pun.

“Namun mereka yang berkuasa semasa bossku dipenjara kini menjaja cerita kononnya DatukSeri Zahid tidak berbuat apa. Ironinya, mereka ini tidak berada dalam barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan menyaksikan dalam beberapa siri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, Dato Seri Zahid memaklumkan usaha-usaha pembelaan buat Datuk Seri Najib tidak pernah bernoktah.

“Dengan menandatangani afidavit menyokong petisyen Datuk Sri Najib, saya kira inilah kemuncak usaha Datuk Seri Zahid demi sahabatnya. Mungkin ada suara sumbang yang mengatakan jika telah mengetahui wujudnya titah adendum pada 30 Januari lalu kenapa Datuk Seri Zahid berdiam diri?” katanya lagi.

Jelasnya lagi, titah adendum tersebut tidak digunakan untuk meraih populariti meskipun ia pernah dibangkit dan disoal di dalam Parlimen.

“Walaupun ada yang bangkit di Parlimen meminta penjelasan benarkah wujudnya titah adendum, ia bukan bahan politik untuk meraih populariti. Ini bukan drama. Ini juga bukan cerpen yang boleh direka mengikut selera penulisnya. Sebaliknya ia menyangkut soal perundangan negara.

“Apabila sebagai orang yang mempunyai hak, Datuk Seri Najib memfailkan petisyen, tanpa ragu dan dalam keadaan sedar risiko yang mungkin ada di hadapannya, Datuk Seri Zahid tampil mengikut lunas perudangan memfailkan afidavit kerana bagi beliau usahanya kini sampai ke kemuncak melalui proses perundangan untuk membela sahabatnya.

“Tumpah air mata saya tatkala mengambil gambar ini pada petang terakhir Ramadhan kerana di bulan penuh keberkatan, Datuk Seri Zahid menzahirkan sokongan buat sahabatnya Datuk Seri Najib dengan menandatangani afidavit yang bukan sahaja pembuktian usaha beliau membantu Datuk Seri Najib tetapi sebenarnya tindakan memuliakan serta menjunjung kasih atas titah addendum Yang di-Pertuan Agong ke-16,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.