Malaysia Menyeru Semua Pihak Tidak Memburukkan Lagi Keadaan Di Timur Tengah – Mohamad Hasan

PUTRAJAYA, 14 April – Malaysia menggesa semua pihak di rantau yang terlibat untuk mengelak dan berhati-hati agar tidak memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau Timur Tengah berikutan serangan Iran ke atas Israel, awal Ahad.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu kenyataan pada Ahad menggesa pihak-pihak yang berkenaan untuk meredakan persengketaan dan mewujudkan persekitaran yang diperlukan untuk menamatkan konflik ini dengan segera.

“Malaysia mengulangi bahawa objektif utama adalah untuk mencari keamanan dan penyelesaian kekal kepada nasib rakyat Palestin, bukannya memanjangkan lagi konflik,” katanya.

Agensi Anadolu dalam laporannya memetik tentera Israel berkata Iran menyerang Israel dengan 290 misil dan dron, termasuk 100 misil balastik.

Iran memulakan serangan udara ke atas Israel pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap serangan udara pada 1 April ke atas kemudahan diplomatik Iran di Damsyik, Syria. Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh staf Kor Pengawal Revolusi Iran termasuk dua jeneral utama.

Tehran mendakwa Israel melakukan serangan itu dan berikrar akan bertindak balas. Tel Aviv tidak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu secara rasmi tetapi Iran dan sekutu rapatnya di Lubnan, Hizbollah sebelum ini berkata mereka tidak akan berdiam diri terhadap serangan itu.

Mengulas lanjut perkembangan itu, Mohamad berkata serangan Iran itu adalah serangan balas terhadap serangan bom awal oleh rejim Israel terhadap kemudahan diplomatik Iran di Damsyik pada 1 April 2024. Iran menyatakan bahawa ini merupakan tindakan bela diri berdasarkan kepada Piagam 51 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata setelah serangan berakhir, Iran menerusi Perutusan Tetapnya di PBB mengumumkan bahawa ia menganggap tindakannya terhadap Israel dibenarkan dan “dianggap selesai”.

Namun, beliau berkata Iran menegaskan sekiranya rejim Israel atau sekutunya “melakukan sekali lagi kesalahan, tindak balas Iran akan jauh lebih berat”, ini akan menyebabkan serangan yang tidak berpenghujung

Menurut Mohamad lagi sebarang bentuk provokasi dan/atau tindakan balas akan memburukkan lagi konflik di wilayah berkaitan tidak akan memberi manfaat kepada Palestin kerana matlamat utama Israel adalah jelas iaitu mengalihkan perhatian masyarakat global daripada tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan mereka di Palestin.

Beliau berkata masyarakat antarabangsa juga diingatkan supaya tidak terlepas pandang matlamat untuk memastikan kemerdekaan rakyat Palestin dan hak milik ke atas tanah mereka sendiri.

“Malaysia seterusnya menyahut seruan Setiausaha Agung PBB untuk menghentikan dan menamatkan permusuhan ini dengan serta merta.

Sebarang bentuk serangan, ofensif atau defensif, akan membawa implikasi yang jika ia tidak dikawal akhirnya akan menyebabkan kematian lebih ramai lagi mereka yang tidak bersalah,” katanya. – Bernama

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit