Hina Agong: ‘Jika Dibiar Berterusan, Akan Jadi Api Dalam Sekam’- Ahmad Maslan

PONTIAN, 14 April- Pihak berkuasa diminta bertindak tegas terhadap individu yang memuat naik hantaran di media sosial yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Jumaat lalu.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata tindakan tegas membabitkan undang-undang itu perlu bagi memberi pengajaran supaya isu bangsa, agama dan raja (3R) yang boleh mencetuskan sentimen perkauman, tidak disentuh sewenang-wenangnya.

“Sudah dinyatakan dengan tegas sebelum ini bahawa penghinaan terhadap bangsa, agama dan raja adalah isu 3R yang amat sensitif.

“Oleh itu, wajar individu berkenaan diambil tindakan segera lebih-lebih lagi selepas laporan polis dibuat oleh 26 bahagian Pemuda UMNO Johor.

“Ia penting supaya tindakan undang-undang dikenakan terhadap individu yang memuat naik hantaran yang menyentunh 3R, jika perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan menjadi api dalam sekam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni penduduk Benut, di sini, hari ini.

Dalam hantaran di Facebook yang dipercayai sudah dimuat turun itu, antara lain individu berkenaan menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat di negeri ini.

Beliau juga dilaporkan mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, individu berkenaan dikenali sebagai Hezry Yasin, didakwa sebagai Pengarah Media Baharu Pemuda PAS Selangor.

Dalam pada itu, Ahmad yang Timbalan Menteri Kerja Raya turut menyokong penuh tindakan Pemuda UMNO Johor yang mengarahkan kesemua 26 bahagian sayap membuat laporan polis terhadap individu tersebut.- BHarian

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.