UMNO Terus Berjuang Berpaksikan Prinsip Hingga Ke Hari Ini – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 13 April – Pemuda UMNO berada pada landasannya yang tersendiri malah parti itu yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan juga masih terus berpegang kepada prinsip perjuangannya hingga ke hari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh menegaskan bahawa prinsip itulah yang menjadi pegangannya sejak diamanahkan untuk memimpin pergerakan berkenaan dan akan terus berjuang berdasarkan paksi dan laluan yang telah ditetapkan.
“UMNO tidak pernah tersasar daripada prinsip dan hari ini telah membuktikan bahawa kita boleh berkawan dengan sesiapa saja. Tapi bila prinsip kita dicabar, maka tidak kira sama ada lawan maupun kawan, kita akan tegur mempertahankan prinsip ini.
“Jadi, Pemuda adalah antara barisan yang terkehadapan untuk mempertahankan prinsip dan juga maruah parti.
“Dan hari ini, Alhamdulillah, saya kekal atas prinsip perjuangan yang sama daripada hari pertama penjawat jawatan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sehingga hari ini,” katanya kepada UMNO Online.
Kata beliau lagi, jangan sesekali mana-mana pihak cuba melanggar termasuklah menyentuh perjuangan UMNO yang sentiasa berpegang kepada prinsip dalam perjuangan di negara ini.
“Kita kekal dengan prinsip bahawa jangan sesekali melanggari… kita punya prinsip utama adalah mesti menjaga agama Islam, bangsa Melayu, Bumiputera dan juga Raja-Raja Melayu.
“Jadi, UMNO sentiasa kekal dengan prinsipnya dulu, kini dan insya-Allah selamanya,” ujarnya lagi. – UMNO Online