Aidilfitri Sinar Kegembiraan Umat Islam, Sambut Dengan Kesyukuran – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 11 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menyifatkan Hari Raya Aidilfitri ini sebagai sinar kegembiraan buat semua umat Islam di seluruh dunia selepas melakukan ibadah puasa selama sebulan.

Katanya, ia juga sebagai manifestasi kepada terjalinnya ukhuwah sesama keluarga dan rakan-rakan melalui perayaan.

“Sudah pastinya di dalam hari barakah ini, kita mengharapkan satu sinar kegembiraan untuk kita sebagai muslimin dan muslimat dalam menyantuni keluarga bagi mengeratkan silaturahim yang telah lama terjalin.

“Jangan lupa untuk berkunjung ibu bapa kita, sanak saudara dengan bermaaf-maafan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh dalam pada itu berpesan kepada umat Islam yang mahu pulang ke kampung untuk berhati-hati ketika memandu.

“Selamat hari raya kepada semua warga muslimin dan muslimat, bukan hanya yang duduk di perantauan tetapi juga yang duduk di kampung dan yang ingin pulang ke kampung saya harapkan agar semua perjalanan dapat dilakukan dengan selamat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, bersempena Aidilfitri ini kerajaan memperkenalkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 yang dilaksanakan berkuat kuasa mulai 5 April lalu sehingga 19 April depan yang melibatkan sebanyak 22 jenis barangan bagi memberikan harga berpatutan kepada rakyat ketika menyambut perayaan ini.

Barangan yang diwartakan dalam skim berkenaan terdiri daripada tomato, cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Beijing), kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang kuning besar dan kelapa biji. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.