Manfaat Aidilfitri Pererat Silaturrahim, Perkukuh Perpaduan – Wan Rosdy


KUALA LUMPUR, 9 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengajak umat Islam untuk memanfaatkan Aidilfitri sebagai usaha mempererat silaturrahim dan memperkukuh perpaduan.

Katanya, ini bukan hanya dikalangan umat Islam tetapi juga kebersamaan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, maka menjadi tanggungjawab kita untuk bersama-sama memelihara keamanan, kemakmuran dan keharmonian tanah air yang kita sayangi ini, menghargai kesejahteraan yang kita kecapi dan meraikan hari kemenangan dengan penuh rasa keinsafan dan kesyukuran,” katanya dalam ucapan sempena hari raya menerusi UMNO Online.

Dalam kemeriahan Aidilfitri ini, beliau yang juga Menteri Besar Pahang mengambil kesempatan untuk menyeru semua agar saling bermaaf-maafan dan seterusnya mempererat persaudaran.

“Alhamdulillah. Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kerana atas limpah dan kurnia-Nya maka kita dapat melunaskan ibadah kita dalam bulan Ramadan.

“Mudah-mudahan, semua amalan mulia yang kita laksanakan serta segala amal ibadat sepanjang bulan puasa diterima oleh Allah SWT dan kita terus istiqamah dalam meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

“Teruskanlah tekad dalam perjuangan kita demi agama, bangsa dan negara. Selamat Hari Raya Aidilfittri. Maaf zahir dan batin,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.