Perjuangan UMNO Tetap Relevan, Meskipun Landskap Politik Negara Berubah – Hilmi

KUALA LUMPUR, 6 April – UMNO masih kekal dalam prinsip perjuangan dalam membela nasib rakyat, khususnya orang Melayu dan Bumiputera, meskipun landskap politik negara yang kian berubah, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias.

Beliau malah memetik ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa UMNO akan memperjuangkan Islam dan Melayu dalam kerangka ‘hubbul watan’ (mencintai negara) yang lebih sederhana dan lebih menghargai kepelbagaian Malaysia dengan unit politik dan sosialnya yang beraneka agama, kaum dan etnik serta budaya.

“UMNO sentiasa berada dalam landasan perjuangannya yang tersendiri dan tidak pernah tergelincir dari asas perjuangannya.

“Perjuangan UMNO tetap relevan dan sehingga kini masih menjadi harapan rakyat khususnya demi agama, bangsa dan negara.

“Hasil kesinambungan perjuangan UMNO telah membawa kesejahteraan, keluar dari arus kemiskinan, semarakkan kemajuan lantas adalah menjadi tanggungjawab kita hari ini bagi meneruskan legasinya agar kelestarian yang pernah dirasai semasa UMNO gemilang dapat dikembalikan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata, keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan tidak hanya sekadar untuk menubuhkan kerajaan, namun demi memastikan agenda yang diperjuangkan parti dapat dilaksanakan kerajaan seperti mana perjanjian yang ditandatangani.

“UMNO tidak pernah mengabaikan prinsip perjuangannya dan agenda asas parti untuk membela Islam, Melayu dan Bumiputera, Raja-Raja Melayu serta Bahasa Melayu, walaupun landskap politik negara sentiasa berubah.

“Oleh sebab itu, bagi memastikan perjuangan asas UMNO tidak diganggu-gugat, dua dokumen ditandatangani sebelum dan selepas tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.

“Ia menyatakan secara jelas bahawa parti itu tidak akan bertoleransi dalam hal Islam, Melayu dan Bumiputera, raja-raja Melayu dan bahasa Melayu,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.