Subsidi Bersasar: Formula Lebih Baik Diperlukan Untuk Kebajikan Rakyat – Syauqi Ibnihajar

KUALA LUMPUR, 4 April – Isu kenaikan harga barangan asas dan kos sara hidup rakyat perlu ditangani segera oleh kerajaan, demikian tegasnya Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad.

Katanya, di sebalik pelbagai pengumuman yang dibuat oleh kerajaan terutamanya potensi kemasukan pelaburan berbillion USD ke Malaysia, isu teras yang lebih kritikal untuk diberi perhatian adalah rungutan serta keluh kesah rakyat kebanyakan di bawah.

Jelasnya, tidak boleh dinafikan bahawa sememangnya harga barangan keperluan asas, kos sara hidup, kos perkhidmatan dan kos perniagaan meningkat.

“Rakyat di bawah kurang berminat mengenai berapa billion USD pelaburan asing masuk ke negara kita, sebaliknya mereka ingin tahu tentang penyelesaian konkrit menghadapi isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

“Sudah pasti, apa-apa kenaikan cukai akan menyebabkan syarikat-syarikat pengilang, pembuatan dan pemberi perkhidmatan turut menaikkan harga mereka.

“Kini rakyat terbanyak amat bimbang sekiranya subsidi petrol dilaksanakan tanpa kaedah yang sesuai diformulasikan oleh pihak kerajaan. Golongan B40 akan tetap menggunakan kuantiti petrol yang sama setiap bulan, tiada peningkatan kos di situ,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya mungkin suatu formula percukaian yang lebih berkesan perlu dipertimbangkan dengan menaikkan kadar peratusan cukai kepada individu-individu maha kaya dan syarikat-syarikat berpendapatan atau berkeuntungan maha tinggi.

Persoalannya, kata beliau adakah formula penentuan harga subsidi petrol bersasar telah dikaji secara komprehensif supaya tiada rakyat terkesan?

“Sekiranya dihitung dari aspek jumlah pendapatan isi rumah, bagaimana posisi keluarga yang mempunyai anak-anak yang agak ramai di kawasan bandar?

“Sekiranya dihitung berdasarkan kenderaan, bagaimana posisi keluarga yang terpaksa menggunakan kenderaan yang lebih besar kerana bilangan anak yang lebih ramai?” soalnya lagi.

Jelas Syauqi, sebagai pembayar cukai dan ada yang bayar lebih banyak dari orang lain, maka seluruh rakyat tetap layak mendapat faedah subsidi dan perkhidmatan yang setara.

“Sebagai sebuah kerajaan yang sepatutnya prihatin masalah seluruh rakyat, kita harus turut serta dalam mencari suatu formula yang lebih baik untuk keseluruhan aspek ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

“Jangan cuma mengambil jalan singkat dengan menaikkan cukai dan menghapuskan subsidi untuk mengurangkan perbelanjaan negara,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit