Shahaniza Bidas Dakwaan MB Pahang Kejam… Pembangkang ‘Dah Beri Betis, Janganlah Nak Peha’

KUALA LUMPUR, 3 April – Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang mempersoal tindakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberikan peruntukan kepada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) kerajaan negeri.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, pembangkang di negeri tersebut seperti diberi betis hendak peha kerana mereka sebagai wakil rakyat telah diberikan keistimewaan seperti ADUN kerajaan.

“Semua kemudahan korang ada, korang boleh jadikan alasan tak boleh beri bantuan kepada rakyat. Dah beri betis, janganlah nak peha.

“Menteri Besar zalim? Menteri Besar tak adil? Itu jelah yang korang tahu cakap kepada semua orang kan? Tak dapat peruntukan? Tak boleh nak berkhidmat kepada rakyat. Kenapa pula penyelaras dapat keistimewaan?

“Saya nak cerita sikit. Penyelaras dapat keistimewaan apa? Kami ini hanya bantu menyelaras peruntukan khas Menteri Besar untuk diberi terus kepada rakyat. Takkan nak bagi kat korang, dah nama pun pembangkang.

“Apa pula yang korang tak dapatnya? Korang tak cerita yang betul. Semua DUN tak kira kerajaan atau pembangkang dapat elaun bulanan berbelas ribu. Kemudian dapat AP (Approved Permit) kereta, loan kereta, road tax percuma, claim mileage, parking pun percuma di tempat awam, elaun telefon, elaun pemandu… sedangkan penyelaras tak dapat semua itulah. Kami tak ada keistimewaan yang korang ada, benda yang ada korang tak nak cerita,” katanya menerusi satu hantaran video di aplikasi Tiktok.

Shahaniza dalam pada itu berkata Menteri Besar tetap menjalankan tanggungjawab dengan memberikan peruntukan di setiap kawasan, namun menurut beliau semestinya peruntukan yang diagihkan itu tidak sama dengan ADUN mewakili kerajaan.

“Bukannya Menteri Besar tak bagi pun peruntukan, bagi… cuma memanglah… takkanlah nak bagi sama banyak. Lepas itu orang kata itu hak wakil rakyat.

“Pilihan raya memilih wakil rakyat untuk membentuk kerajaan. Bila kerajaan dah dibentuk, mana ada pembangkang boleh sama taraf dengan kerajaan. Itu biasa,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.