Kerajaan Perpaduan Perlukan Dukungan Rakyat, Pemimpin Pastikan Kestabilan Politik, Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 3 April – Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad berpandangan di sebalik komitmen yang dilakukan kerajaan, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global sedikit sebanyak mempengaruhi pelan tindakan pengukuhan dirangka kerajaan.

Menurut beliau, dalam menghadapi cabaran tersebut setiap daripada kalangan pemimpin memainkan peranan penting ke arah mengukuhkan ekonomi negara dengan menjaga semangat perpaduan.

Katanya melalui itu, pelabur-pelabur asing akan melihat kestabilan politik dan melabur di negara ini sekaligus membawa keuntungan kepada ekonomi negara.

“Kerajaan Perpaduan ini terdiri daripada berbilang parti… kerajaan ini bukan terdiri satu bangsa, banyak bangsa ada orang Melayu, Cina, India dan sebagainya dan tentulah kerajaan ini membela nasib tiga bangsa dan bangsa bumiputera dan bukan bumiputera.

“Banyak sangat kebaikan yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan ini kepada rakyat, sama ada orang nak menilai positif ataupun negatif, kalau orang menilai positif maka positif lah, tapi kalau dia sentiasa menilai dalam keadaan yang negatif maka negatiflah.

“Saya lihat sepanjang Kerajaan Perpaduan ini mentadbir hampir dua tahun banyak kebaikan-kebaikan yang dilaksanakan kepada rakyat cuma kebetulan masa ini ekonomi dunia tak berapa baik kerana perang Ukraine, perang Palestin, ekonomi nampak tak berapa cantik.

“Kita ni pemimpin kena kuatkan perpaduan, kalau tak ada perpaduan bergaduh, berantakan sama-sama sendiri, siapa nak datang negara kita?” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.

Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, kerajaan juga banyak membawa pandangan Malaysia berkenaan krisis-krisis global yang berlaku termasuk jenayah perang di Palestin dan Ukraine.

“Alhamdulillah walaupun kerajaan kita ni nampak begini tetapi di peringkat antarabangsa, perjuangan kita tak pernah putus dengan suara yang lantang.

“Perjuangan membebaskan Palestin, perjuangan membebaskan Ukraine bagi memastikan suara kita didengar di peringkat dunia,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.