Bukan Kali Pertama Keluarkan Konten Tiada Otak, Akmal Seru Boikot Produk Usahawan Sensasi

KUALA LUMPUR, 2 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh menyeru umat Islam di negara ini untuk memboikot produk yang dikeluarkan oleh usahawan sensasi yang mengeluarkan konten video tidak bermoral.

Beliau berkata, ini kerana video yang dikeluarkan tersebut acap kali dikeluarkan ketika bulan Ramadan, yang memaparkan beberapa penari mengenakan kostum aneh dalam sedutan video lagu raya.

“Kalau KK Mart kita boleh boikot, apa lagi produk dia ni. Ini bukan kali pertama malahan sudah banyak kali pada tahun lepas telah didakwa di mahkamah dan kes itu masih lagi berjalan sehingga ke hari ini atas kesalahan yang sama, tak kan la setiap tahun hendak buat lepas itu minta maaf.

“Tidak boleh jaga ke sensitiviti umat Islam di kala bulan Ramadan ni? Nak keluar lagi keluarkan tetapi jangan keluarkan lagu dan video yang sakit hati dan mata orang tengok.

“Saya rasa sudah tiba masanya rakyat Malaysia mengajar erti sebuah penyesalan pada dengan kita boikot semua produk yang dijual oleh beliau. Cukup cukuplah dengan drama minta maaf dan air mata yang diulang setiap tahun.

“Kamu nak lihat kemarahan rakyat Malaysia kan? Sila tunggu produk kamu akan diboikot. Ini bukan content luar kotak,ini adalah konten tiada otak!” tegas beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pada itu turut sama berharap agar tindakan undang-undang diambil pihak berkuasa bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang kembali.

“Saya mohon pihak kerajaan untuk menyekat video ini dan tindakan undang-undang perlu diambil yang mana kes pada tahun 2022 pon masih lagi berjalan untuk mamat ni mengenai isu yang sama.

“Kita mohon pihak kementerian tarik balik semua video-video yang telah dikeluarkan. Tindakan keras melalui undang-undang perlu diambil.

“Bagaimana kita minta untuk rakyat Malaysia boikot KK Mart kerana tidak menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini, sama juga kita minta seluruh umat Islam untuk bagi pengajaran kita boikot segala produk yang dikeluarkan,” ujar beliau.

Terdahulu usahawan sensasi tersebut sekali lagi tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi video yang dimuat naik di akaun Instagramnya pagi ini.

Permohonan maaf itu dibuat susulan kecaman yang diterima berhubung perkongsian sebelum ini yang memaparkan aksi dia bersama beberapa penari mengenakan kostum aneh dalam sedutan video lagu raya.

Menurut beliau lagi, video itu sebenarnya hanya satu gurauan dan dia meminta orang ramai untuk tidak memperbesarkan isu tersebut memandangkan lagu tersebut juga tidak dikeluarkan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.