Perkukuhkan Keluarga Besar UMNO, Raih Sokongan Rakyat – Bung Moktar

SANDAKAN, 1 April – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap kesepaduan dalam kalangan ahli parti khususnya kepimpinan UMNO bahagian terus dipererat bagi mendepani masa depan yang lebih baik untuk parti keramat ini.

Beliau berkata, perkara itu amat penting dicapai terutama untuk meraih kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada UMNO.

“Mari sama-sama kita kukuhkan hubungan kita dari sebarang kekhilafan dan bersatu dalam sebuah keluarga besar UMNO, saling bekerjasama bagi mendapatkan keyakinan rakyat kepada parti kita khususnya untuk mendepani cabaran Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa bersama kepimpinan UMNO Bahagian empat peringkat di sini, kelmarin.

Bung yang juga Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan pada masa sama meluahkan penghargaan kepada kepimpinan bahagian yang ada serta anggota akar umbi parti kerana sentiasa memberikan sokongan untuk terus menggalas jawatan sebagai Ketua UMNO.

“Yang pergi biarkanlah pergi kerana mungkin mereka ada misi peribadi… kita tidak menyimpan dendam, kita yang kekal dengan kesetiaan dan prinsip perjuangan ini akan terus kita pertahan demi membela masa depan rakyat dan membangunkan negeri yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek terutamanya infrastruktur asas yang sempurna,” katanya.

Sehubungan itu, Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan bahawa parti ini mesti terus diperkukuh bagi memastikan dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai peneraju agama, bangsa dan negara.

“Kita mengharapkan kerajaan hari ini mesti berfungsi dengan baik dan tak boleh gagal kerana kerajaan hari ini membawa slogan besar ‘Sabah Maju Jaya’ yang seharusnya dapat memberikan kebaikan kepada rakyat namun ternyata ianya ‘jauh panggang dari api’ yang harus kita perbetulkan kembali,” katanya.

Dalam hal ini Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa UMNO gila kuasa dan mahukan jawatan sedangkan banyak bukti bahawa UMNO tidak sedemikian.

“Asyik UMNO saja yang dituduh gila kuasa, sedangkan kalau kita tamak kuasa maka kita tak akan bagi jawatan ketua menteri kepada parti lain selepas PRN Ke16, kita berlapang dada beri laluan kerana kita mahu kestabilan politik dan kerajaan dapat dibentuk segera,” katanya.

Menurut Bung sikap berlapang dada yang ditunjukkan oleh UMNO/BN semasa pembentukan kerajaan selepas PRN16 ternyata tidak dihargai, konsep Kerajaan Perpaduan tidak selari dengan kerajaan negeri dan dalam diam semasa dalam kerajaan ada percubaan nak ‘bunuh’ UMNO maka kerana itu UMNO tarik sokongan kepada GRS.

Bung menambah hari ini lebih empat tahun kerajaan GRS mentadbir negeri, dengan satu slogan besar SMJ yang sudah tentu menjadi sandaran rakyat.

“Bagaimanapun keadaan bukannya berubah malah lebih parah dari sebelumnya terutamanya dalam infrastruktur asas, jalan raya, air dan elektrik.

“Maka mana-mana parti yang baru sehari dua janganlah bercakap soal memperjuangkan pembangunan, memperjuangan hak rakyat Sabah ‘ini rumah kita, kita jaga’ dan tolak mereka yang memperlekehkan jasa serta sumbangan UMNO selama ini.

“Apa yang pasti jasa UMNO/BN nyata dan turut diakui oleh rakyat malah pemimpin yang ada dalam kerajaan hari ini pun turut menerima nikmat dari UMNO,” jelas Bung lagi.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Jafry Arifin; Naib Ketua UMNO Bahagian, Pangiran Aziz Pangiran Damsah; Ketua Wanita, Aminah Johan; Ketua Pemuda, Mohd Kurniawan Naim Bung dan Ketua Puteri, Norfianah Piddin Nani. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.