Kongsi Rezeki… Puteri UMNO Anjur Singgah Sahur, Bantu Para Gelandangan

KUALA LUMPUR, 1 April – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berkesempatan untuk berkongsi rezeki dengan menganjurkan program Singgah Sahur dengan menyantuni para gelandangan yang berada di sekitar ibu negara, semalam.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, program tersebut merupakan acara tradisi Pergerakan Puteri UMNO yang akan diadakan saban tahun pada bulan Ramadan.

“Dikala kita bergembira, pasti ada yang berduka. Adalah lebih baik kita berkongsi nikmat bersama semua.

“Program Singgah Sahur bersama gelandangan ini memang kita akan anjurkan setiap tahun pada bulan Ramadan. Dah jadi tradisi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Sumbangan utama berupa makanan yang diberikan sebagai juadah sahur iaitu set nasi ayam, air, makanan kering seperti biskut, roti dan botol air.

Selain makanan, Pergerakan Puteri UMNO turut menyerahkan peralatan mandian seperti tuala, berus gigi, sabun dan barangan-barangan lain.

Untuk rekod, program ini juga merupakan hasil usaha sama daripada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) Kretip Malaya.

Turut bersama-sama dalam menyampaikan sumbangan tersebut adalah barisan kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Pergerakan Puteri UMNO Wilayah Persekutuan dan sukarelawan yang terdiri daripada orang awam serta NGO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.