Isu Kafir: Majlis Ulama UMNO Nasihat Pemimpin Lebih Berhati-hati Supaya Tak Timbul Salah Faham
KUALA LUMPUR, 2 April – Majlis Ulama UMNO menasihati para pemimpin kerajaan dan pemuka masyarakat terutamanya agar lebih berhati-hati dalam membicarakan isu-isu sensitif berkaitan Islam supaya tidak menimbulkan salah faham di kalangan orang-orang Islam yang boleh menimbulkan perdebatan dan tuduh menuduh di kalangan umat Islam.
Hal tersebut dinyatakan oleh Majlis Ulama UMNO menerusi kenyataan media setelah meneliti penjelasan yang telah dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkaitan penggunaan perkataan kafir yang menjadi kontroversi baru-baru ini.
“Majlis Ulama UMNO menegaskan bahawa perkataan kafir adalah perkataan yang dinaskan oleh al-Quran dan al-Hadis merujuk kepada satu kategori manusia yang tidak beragama Islam dan mengengkari akidah yang dianuti oleh orang Islam.
“Justeru, tiada sebarang sensitiviti beragama dalam menggunakan istilah Kafir merujuk kepada bukan Islam kerana ia merupakan istilah dalam agama Islam. Malah, ia merupakan perkataan yang sentiasa disebut oleh umat Islam apabila membaca surah-surah yang menjadi wirid harian seperti surah al-Kafirun dan dalam zikir-zikir seperti lafaz Takbir Hari Raya.”
Namun katanya, dari sudut panggilan apabila berbicara dengan bukan Islam, dari sudut hikmah dakwah sebahagian ulama kontemporari seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan Sheikh Muhammad Soleh al-Munjid berpandangan tidak wajar memanggil seorang bukan Islam sebagai “Wahai Kafir ” kerana ia meliarkan mereka daripada Islam dan menambahkan kedegilan mereka untuk menerima Islam.
“Masyarakat Islam juga dinasihati agar tidak gopoh mengulas, menyebar serta membuat sangkaan dan tuduhan melibatkan maruah beragama seorang saudara Islam apabila berbangkit apa-apa isu agama daripada ucapan dan tulisan seseorang sebelum mendapatkan penjelasan maksud dan tujuannya. Bersangka baik adalah lebih baik dan selamat.”
Kenyatan terbabit turut menerangkan berdasarkan nasihat Khalifah Islam, Umar bin al-Kattab (r.a) sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat 12 surah Al-Hujurat.
Kata beliau: “Janganlah kamu menyangka terhadap satu kalimah yang keluar dari mulut saudaramu melainkan kebaikan sedang kamu masih ada ruang menanggung maksud yang baik.” – UMNO Online