UMNO Sabah Sasar 23 Kerusi Kawasan Pantai Timur Sabah Pada PRN-17

SANDAKAN, 30 Mac – UMNO Sabah menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 23 kerusi bagi kawasan Pantai Timur Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 kelak.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya akan bekerja keras untuk menguasai kerusi-kerusi yang telah disasarkan.

“Kawasan Pantai Timur dari Semporna ke Kinabatangan mempunyai 28 kerusi. Kami mensasarkan untuk menang di 23 kerusi pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah Zon 5 di Masjid Raya Seri Aman, Pekan Muhibbah Batu 12 dekat sini, semalam.

Menurut beliau, ke arah itu, pihaknya ketika ini aktif menyusun strategi tepat menerusi Program Gerak17 UMNO Sabah yang telah dilancarkan di seluruh negeri.

“Kita perlu menyusun strategi dengan sasaran yang tepat. Kalau kita sudah siap siaga dan semboyan (PRN-17) dibunyikan, jentera-jentera UMNO sudah bersedia untuk menggalas tugas dan amanah yang diberi,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Bung Moktar berkata pihaknya tidak berhasrat untuk meletakkan calon bermusibah bagi mewakili parti itu pada pilihan raya negeri.

“Calon bermusibah yang ditolak rakyat ini akan mendatangkan kekalahan kepada parti. Oleh itu, kita akan pertimbangkan calon sebaik mungkin iaitu yang diterima, disukai dan boleh memenangi hati rakyat.

“Walau bagaimanapun, saya melihat agak sukar untuk meletak calon yang disokong oleh semua rakyat, tetapi sekurang-kurangnya calon itu tidak mempunyai musibah yang tinggi, maknanya tiada konflik yang terlalu besar maka calon itu yang kita pilih,” jelas Bung Moktar lagi.

Oleh:JBW

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.