Isu CIQ: Kita Semua Bekerja Untuk Memudahkan Urusan Rakyat – Dr Akmal
ALOR GAJAH, 29 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa semua pemimpin bekerja dengan matlamat untuk memudahkan urusan dan mendengar segala keluh kesah rakyat.
Jelasnya, masalah berkaitan Kastam dan Imigresen (CIQ) di Johor sudah banyak kali berlaku dan kegigihan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi mahu menyelesaikannya tidak boleh disangkal lagi.
“Sebab itu penting apabila jadi pemimpin turun ke bawah, dengar dan lihat sendiri apa keluhan rakyat. Bukan hanya buat kenyataan di kerusi empuk dalam bilik ‘aircond’ kerana apa yang di atas kertas, selalunya tidak sama dengan apa yang berlaku sebenarnya.
“Rakyat Johor semua tahu bagaimana kegigihan Menteri Besar (MB) Johor turun sama ada pagi, petang atau tengah malam untuk melihat sendiri… dan bukan hanya sekali tetapi banyak kali sudah beliau turun, malah masalah sama masih juga berlaku,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau turut menasihatkan agar Setiausaha CUEPACS turun sendiri ke CIQ Johor untuk melakukan tinjauan.
“Bila masalah yang sama masih juga berlaku… walaupun sudah berulang kali dinyatakan, maka sudah tentu perlu dikejutkan dengan kuasa viral rakyat. Barulah menteri-menteri dan pegawai atasan ini tersedar dari lamunan mimpi.
“Dalam isu ini, saya minta Setiausaha CEUPACS turun sendiri melihat dan bukan hanya pandai buat kenyataan di kerusi empuk sahaja. Kita ini semua bekerja untuk memudahkan urusan rakyat,bukan menyusahkan mereka lagi. Teruskan MB Johor,rakyat bersama anda,” katanya lagi.
Pada Khamis media media melaporkan CUEPACS menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam perlu dibuat secara berhemah tanpa terlalu diuar-uarkan di media sosial.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin untuk mengelak timbul situasi sehingga tidak menggambarkan situasi sebenar.
Merujuk teguran Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi kepada Jabatan Imigresen, beliau berkata kakitangan di Tambak Johor telah bertungkus-lumus menguruskan kemasukan rakyat Malaysia ke Singapura dan perjalanan sebaliknya. – UMNO Online