Selangor Lokasi Ke-8 Majlis Santunan Kasih Ramadan, Rai Masyarakat Setempat
KUALA LANGAT, 28 Mac – Selangor merupakan lokasi ke-8 untuk siri jelajah Majlis Santunan Kasih Ramadan bagi meraikan masyarakat setempat khususnya anak-anak yatim.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah hadir bagi mengimarahkan majlis tersebut dan mengambil kesempatan untuk iftar bersama-sama para hadirin.
Majlis yang bermula kira-kira pukul 6 petang di Masjid Jamek As-Solehin itu berlangsung dalam suasana sederhana dan meriah, disertai dengan penyampaian sumbangan kepada mereka yang diraikan oleh pihak kementerian.
Seramai 132 orang anak-anak yatim dan pelajar tahfiz yang diraikan telah menerima sumbangan tersebut.
Turut menyerikan suasana adalah tazkirah ringkas sementara menunggu waktu berbuka dan seterusnya solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah selain solat sunat terawih.
Selain warga setempat, barisan kepimpinan UMNO dan kakitangan kerajaan lain pelbagai peringkat turut mengambil kesempatan untuk bersama-sama memeriahkan suasana.
Turut dihadir, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dan kepimpinan UMNO pelbagai peringkat yang lain.
Majlis Santunan Kasih Ramadan yang terakhir akan diadakan pada 29 Mac 2024 (esok) di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, Perak. – UMNO Online