UMNO/BN Sabah Bukan Takut Slogan SMJ, Suara Keperitan Rakyat Enggan Diulit Mimpi Indah – Suhaimi

SANDAKAN, 27 Mac – Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, tidak timbul soal UMNO takut atau sebaliknya terhadap slogan ‘Sabah Maju Jaya’ (SMJ) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai pelan pembangunan untuk tempoh lima tahun (2021-2025) bagi memacu ekonomi negeri dan sosio-ekonomi rakyat.

Katanya, ini bukan isu ketakutan bagi UMNO/Barisan Nasional (BN) yang dianggap sebagai pembangkang di Sabah, namun persoalan pokoknya ialah kegusaran rakyat yang saban hari berhadapan dengan pelbagai isu iaitu dari hal pembangunan infrastruktur asas sehinggalah ke isu ekonomi.

“Isu ini dibangkitkan oleh rakyat sendiri, saban hari di pelbagai platfrom media, di kedai-kedai kopi, di pejabat-pejabat kerajaan, mereka persoalkan keberkesanan slogan SMJ dalam membawa kesejahteraan untuk dinikmati.

“Kami sebagai pemimpin dan parti politik hanya membawa isu untuk memaklumkan kepada kerajaan, bukan disebabkan kepentingan politik, tapi isu ini berkaitan kepentingan rakyat yang enggan diulit mimpi indah berterusan,” jelas Suhaimi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis berbuka UMNO Zon 6 melibatkan Lahad Datu, Semporna,Tawau dan Kalabakan di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu baru-baru ini.

Beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik berkata demikian sebagai mengulas ucapan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Nor semasa program berbuka puasa anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Klias, di Masjid Daerah Beaufort pada Sabtu yang menyebut pemimpin pembangkang menjadikan SMJ sebagai sasaran kritikan dan modal politik kerana takut kepada slongan tersebut dan mencari keburukannya.

Suhaimi menambah rakyat sudah tentu tidak akan mempersoalkan isu ini sekiranya SMJ sebagai satu gagasan besar kerajaan berjaya mengubah landskap pembangunan yang mampan dan mencapai matlamatnya.

“Bagaimana rakyat nak berdiam diri jika lebih empat tahun Kerajaan GRS mentadbir negeri ini namun masalah-masalah kritikal terutamanya dalam penyediaan frasarana jalan raya, bekalan air dan elektrik termasuk ekonomi masih menghambat kehidupan. Apakah semua masalah ini tidak terkandung dalam gagasan SMJ?” soal Suhaimi.

Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata, ini bukan soal untuk mengapi-apikan rakyat tetapi ia realiti yang dihadapi masyarakat.

“Turunlah ke pelusuk mana kampung-kampung atau daerah-daerah di negeri ini, masalah yang akan meniti dari bibir ke bibir rakyat adalah berkaitan hal ini. Peranan kita (UMNO/BN) hanya sampaikan kepada kerajaan, biarlah laporan kejayaan SMJ yang dikeluarkan oleh kerajaan, selari dengan kesan positif yang diterima oleh rakyat.”

Sehubungan itu Suhaimi juga meminta kepimpinan kerajaan Negeri Sabah jangan gelabah apabila isu ini terus menjadi perdebatan rakyat.

“Perlu diingat majoriti rakyat kini celik digital, tahu untuk menzahirkan rasa ketidakpuasan hati mereka, malah turut memuat naik isu ini di media sosial juga.

“Jangan anggap ini kerja pemimpin parti pembangkang, kalau kita lihat dan baca rakyat biasa pun meluahkan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kegagalan SMJ, mereka bukan orang politik bukan pemimpin politik tapi tekanan hidup yang mereka hadapi memaksa lebih berani mezahirkan isu ini melalui pelbagai medium,” jelas Suhaimi.

Suhaimi juga mengingatkan kerajaan agar lebih fokus dalam pelaksanaan SMJ iaitu bukan sekadar menguar-uarkannya di pelbagai platfrom media atau mendirikan sebanyak mana papan tanda sebagai satu kejayaan.

“SMJ tidak bermakna untuk rakyat sekiranya kehidupan mereka masih terus dibelenggu dengan masalah kehidupan terutamanya kemudahan asas yang belum selesai.

“Laksanakan perancangan yang ada dengan penuh komitmen, belanjakanlah sumber kewangan yang didakwa mencukupi untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat, tidak perlu diungkit kelemahan kerajaan sebelum ini, kerana pemimpin yang ada dalam kerajaan hari ini pun dahulunya bersama kerajaan sebelum ini,” katanya lagi.

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit