MCBA Bertindak Sebagai Barisan Hadapan Pintu Masuk Negara – Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata Agensi Tunggal Sempadan Negara (SBA) dikenali sebagai Malaysia Checkpoints and Border Agency (MCBA) merupakan agensi kerajaan yang bertindak sebagai barisan hadapan di pintu-pintu masuk negara termasuk pelabuhan.

Jelasnya, pengurusan MCBA ketika ini giat menyelaraskan perbincangan dan libat urus bagi tujuan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU)dan Pindaan Akta-akta Berbangkit berkenaan.

“Pasukan MCBA kini sedang giat menyelaraskan perbincangan dan libat urus bagi tujuan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) MCBA dan RUU Pindaan Akta-Akta Berbangkit. Sebanyak sekurang-kurangnya 31 akta akan terlibat dalam pindaan berbangkit ini.

“Berdasarkan perancangan, MCBA akan mula beroperasi sepenuhnya di lapangan selepas RUU Pindaan Akta Berbangkit diluluskan yang mana disasar untuk dibentangkan dalam sesi Parlimen bulan Jun akan datang,” katanya, Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli yang bertanyakan apakah status terkini projek rintis pelaksanaan agensi tunggal sempadan negara (SBA) bagi mengawal selia 141 pintu masuk negara dan bilakah sasaran tarikh agensi baru ini dijangka mula beroperasi.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan penyelarasan dan libat urus bersama sedang giat dilaksanakan.

“Selain itu, penyelarasan dan libat urus bersama agensi-agensi sedia ada dan pihak berkepentingan lain juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan koordinasi yang baik dan harmoni di pintu masuk.

“Penyelarasan ini akan merangkumi perancangan operasi secara berfasa, pembangunan SOP bersepadu di lapangan serta mekanisme penyelarasan dasar di antara pelbagai Kementerian dan Jabatan berbeza,” jelasnya.

Pada masa yang sama kata Ahli Parlimen Lenggong itu, komitmen dan sokongan dari semua pihak memainkan peranan yang penting dalam agenda ini.

“Saya yakin MCBA akan menjadi agensi tunggal di pintu masuk yang menyumbang kepada peningkatan kawalan keselamatan, menambah kecekapan perkhidmatan kerajaan, mengurangkan birokrasi dan ketirisan, dan memakmurkan ekonomi negara,” ujarnya.- UMNO Online



@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.